BATU PAHAT: Seorang lelaki berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan kerana disyaki merogol anaknya selain turut melakukan amang seksual terhadap seorang lagi anak perempuannya.
Lelaki yang bekerja sebagai pemasang jubin berusia 45 tahun itu kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Batu Pahat, Suhaila Shafiuddin bermula hari ini.
Berdasarkan laporan polis, suspek disyaki merogol anak perempuannya berusia 14 tahun di rumah mereka sejak Januari lalu tanpa diketahui isterinya.
Namun rahsia tersebut terbongkar selepas adik mangsa berusia 11 tahun dikatakan ternampak ayahnya sedang merogol mangsa melalui tingkap rumah ketika pulang dari sekolah kira-kira pukul 2.30 petang semalam.
Menyedari kepulangan adiknya, mangsa kemudian meminta pertolongan sebelum suspek dikatakan bertindak memakai semula seluar dan ketika kejadian ibu mangsa tiada di rumah kerana bekerja.
Mangsa kemudiannya menceritakan kejadian itu kepada ibunya sebelum membawanya melakukan pemeriksaan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat dan mendapati ada kesan dirogol.
Bertindak atas laporan ibu mangsa pada hari sama, suspek berjaya ditahan di sebuah taman perumahan tidak jauh dari rumah mereka pada pukul 12.30 malam tadi.
Adik mangsa yang berusia 11 tahun turut mendakwa dirinya pernah menjadi mangsa amang seksual ayahnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek untuk membantu siasatan. – UTUSAN