KUALA LUMPUR: Rata-rata pelancong melahirkan kebimbangan untuk membeli-belah di Masjid India di sini ekoran dua kejadian tanah jerlus di kawasan terbabit.
Pelancong dari Filipina, Najiyah Ismail,30, berkata, dia yang tiba sejak Selasa lalu terkejut apabila melihat kawasan Masjid India di sini yang selalunya dipenuhi pelancong dan pengunjung kini lengang.
“Saya mengetahui kejadian yang menimpa seorang pelancong dan dapati jalan lengang hari ini.
“Malah, saya berasa takut untuk berjalan di laluan di sepanjang Masjid India namun terpaksa ke sini kerana ingin membeli barangan selain mengambil stok jualan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Seorang lagi lelaki dari Kota Kinabalu, Sabah yang ingin dikenali sebagai Madi, 30, juga berasa tidak selamat namun terpaksa datang ke kawasan terbabit atas urusan kerja.
Katanya, cuaca yang tidak menentu turut menjadi punca dia berasa takut terutamanya untuk berjalan di kaki lima kedai.
“Saya datang sini atas urusan kerja dekat sini untuk dua hari dan selalu turun sini (Jalan Masjid India). Sekarang pula musim hujan jadi, nak lalu tengah jalan rasa takut, jadi tawakal ikut kaki lima kedai sahaja,” katanya.
Penduduk Malayan Mansion, Tellbulz, 47, turut melahirkan kebimbangan malah merancang untuk berpindah dari kawasan tersebut namun terdapat beberapa kekangan.
Dia yang berasal dari Kota Kinabalu berkata, keadaan diharap dapat kembali seperti sedia kala.
“Memang ada rasa risau dengan keselamatan (disebabkan tanah jerlus), rasa nak pindah juga ada tapi tiada masa dengan duit.
“Sekarang ini jalan nak pergi ke tempat kerja ambil lalauan jauh sebab elak garisan kuning polis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis sudah mengarahkan laluan sepanjang 1.4 kilometer (km) di Jalan Masjid India ke Jalan Raja Laut yang terlibat dengan tanah jerlus ditutup susulan mendapan baharu dikesan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, penutupan itu melibatkan laluan yang mempunyai lima pembetung dan arahan berkait perkara tersebut sudah dikeluarkan kepada Ketua Polis Daerah Dang wangi dan Ketua Polis Negeri. – UTUSAN