Pelancong India hilang 'ditelan' lubang mendap

Pelancong India hilang ‘ditelan’ lubang mendap

Pasukan bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat wanita warga India yang terjatuh ke dalam lubang tanah mendap di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kejadian tanah mendap di Jalan Masjid India di sini didakwa bukan kali pertama berlaku.

Namun, dalam kejadian terbaru pagi semalam, menyebabkan seorang wanita warga India hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan, sebelum ini kejadian tanah mendap berlaku tepat di lokasi sama tetapi sudah dibaik pulih.

“Saya difahamkan tempat ini pernah mendap sekali dan betul-betul di tempat seorang wanita warga India terjatuh dan masih hilang setakat petang semalam.

“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang mangsa sahaja yang kita nampak berjalan di situ.

“Dia (mangsa) datang sini sebagai pelancong sudah hampir dua bulan, difahamkan esok adalah hari terakhir di sini,” kata beliau di lokasi semalam.

Menurut beliau, proses mencari dan menyelamat mangsa perlu dilaksanakan dengan teliti dan merujuk banyak pihak.

“Ada aliran air deras sampai ke hujung dan kita sudah tengok sampai hujung tiada (mangsa). Sekarang kita lakukan secara berperingkat mengikut perbincangan dengan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

“Kita juga mengikut nasihat pihak bomba, IWK tengok dari segi gas jadi kita tidak boleh bertindak sesuka hati,” katanya.

Sementara itu, tinjauan dalam kalangan beberapa warga kota mengenai kejadian banjir kilat, mereka mendakwa kejadian ter­sebut adalah perkara biasa.

Pemilik restoran, Muhammad Saddam, 24, berkata, setiap tahun banjir kilat di kawasan Jalan Masjid India akan berlaku malah sangat penat untuk melihat sampah terapung sebaik air naik.

“Jika dibandingkan dengan ban­jir kilat sebelum ini, banjir semalam tidak seteruk tahun-tahun lalu. Tapi apa yang saya lihat adalah lambakan timbunan sampah terapung yang membawa sekali dengan serangga seperti lipas.

“Air tersebut bukan sahaja berlumpur, malah busuk dan menyebabkan kerosakan pada barangan perniagaan seperti dapur, kaunter dan beberapa mesin serta harus ditukar jika berkarat,” katanya.

Setiausaha sebuah syarikat swasta, Izham Musa, 50, pula berkata, peniaga dan penduduk setempat di ibu negara sentiasa sedia menghadapi banjir kilat.

“Ia kerap berlaku dan ada yang menempah kekuda khas untuk meletakkan barangan mereka di tempat tinggi.

“Banjir kilat yang berlaku semalam naik dengan cepat hinggakan tidak sempat untuk memindahkan beberapa barangan yang berat dan besar,” katanya.

Jelas Izham, setiap tahun aduan dibuat dan DBKL telah mengambil tindakan dengan perbesarkan saliran serta longkang di kawasan berdekatan.

“Namun apa yang mengecewakan adalah pengurusan sam­pah di kawasan sekitar. Adakah ia salah DBKL atau kesedaran masyarakat tentang pengurusan rendah?” soalnya.

Dalam pada itu pemerhatian di sekitar Jalan Tun Ismail mendapati orang ramai telah mengalihkan kenderaan mereka yang rosak ke bengkel berdekatan dan terdapat sedikit kesan lumpur akibat banjir kilat semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN