Pelajar dilapor hilang, bersembunyi di surau - Utusan Malaysia

Pelajar dilapor hilang, bersembunyi di surau

QAYZIKRI Hazimi yang dilaporkan hilang dari sekolahnya di Sikamat, Seremban tengah hari kelmarin telah dijumpai semula di sebuah kedai gunting rambut di Senawang, petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pelajar sekolah menengah yang dilaporkan hilang dari sekolahnya di Sikamat di sini pada tengah hari kelmarin telah dijumpai semula oleh keluarganya petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Mohamad Hatta Che Din berkata, remaja lelaki berusia 14 tahun itu, Qayzikri Hazimi dijumpai kira-kira pukul 3 petang semalam di sebuah kedai gunting rambut di Taman Widuri, Senawang di sini.

“Pelajar lelaki itu ditemui dalam keadaan baik dan selamat. Dia telah bersembunyi di sebuah surau di kawasan berhampiran sehingga dijumpai semula oleh ahli keluarga terdekat di sebuah kedai gunting rambut.

“Dia bersama keluarga telah dipanggil ke Pejabat Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk dirakam percakapan,” katanya hari ini.

Semalam media melaporkan pihak polis memohon bantuan orang ramai untuk mencari dan menjejaki seorang pelajar sekolah menengah yang dilaporkan hilang dari sekolahnya di Sikamat di sini pada tengah hari kelmarin.

Menurutnya, ekoran dari kes tular di media sosial yang melibatkan orang hilang, lebih kurang pukul 5.12 petang kelmarin, polis telah menerima aduan daripada guru sekolah menyatakan bahawa seorang pelajar lelaki Melayu berusia 14 tahun telah melarikan diri dari sebuah sekolah. 

Hasil maklumat diperoleh, lebih kurang pukul 10.30 pagi, guru telah dimaklumkan oleh pelajar bahawa seorang pelajar lelaki dari tingkatan dua telah tiada di dalam kelas. 

Pihak sekolah telah cuba mencari di dalam kawasan sekolah dan juga asrama tetapi gagal dijumpai. Dalam kes ini, seorang saksi iaitu rakan sekelas telah nampak pelajar tersebut keluar daripada kelas dengan membawa beg sekolah dan terus ke bahagian belakang asrama.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN