Pasangan kekasih ditahan proses, edar dadah bernilai RM2 juta - Utusan Malaysia

Pasangan kekasih ditahan proses, edar dadah bernilai RM2 juta

M. KUMAR (kiri) menunjukkan pelbagai jenis dadah dan bahan memproses dadah dalam sidang akhbar di IPK, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis negeri ini menumpas sindiket memproses dan mengedar dadah antarabangsa apabila menahan pasangan kekasih dalam empat serbuan di sekitar bandar raya ini dan Iskandar Puteri, 17 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah lebih enam kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai lebih RM2 juta.

“Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menahan seorang lelaki warga asing berusia 31 tahun serta merampas sejumlah dadah di sekitar Iskandar Puteri. Susulan penahanan itu, pihak polis menyerbu sebuah rumah mewah semi D di kawasan berpagar dan berpengawal di Taman Eco Flora yang dijadikan makmal memproses dadah serta menemukan puluhan botol mengandungi bahan kimia serta pelbagai peralatan yang digunakan untuk memproses dan membungkus dadah sebelum diedar ke negara jiran dan pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, pihak polis merampas 3.67kg serbuk ekstasi, 20.21 liter cecair ekstasi, 1.85 gram (g) pil erimin 5, 12.80g pil ekstasi, 4.80g pil epam nitrazepam dan 2.6kg syabu.

Polis turut merampas peralatan memproses dadah serta ‘percusor’ yang digunakan dalam memproses dadah, sebuah kereta, wang tunai RM131,598, pelbagai jenis barang kemas, wang tunai asing SG$100 serta tiga akaun bank yang keseluruhan nilai sitaan RM630,596.

Susulan itu, pihaknya menahan seorang wanita tempatan berusia 38 tahun dipercayai kekasih suspek lelaki pada hari yang sama dan penahanan wanita itu menunjukkan dua lagi lokasi, iaitu sebuah rumah teres dan apartmen di Setia Indah dan Majidee, di sini dan menjumpai sejumlah dadah.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek lelaki mempunyai kepakaran memproses dadah daripada bahan-bahan berjadual, antaranya methanol, sulfat asid serta pelbagai bahan kimia lain. Kita masih menyiasat bagaimana dan dari mana suspek mendapat bahan-bahan berjadual ini,” katanya sambil memberitahu sindiket itu telah beroperasi sejak Mei lalu.

Hasil saringan urin mendapati suspek lelaki positif dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine, manakala wanita positif Benzodiazepines (Benzo). 

Suspek lelaki itu dipercayai dalang sindiket dan pihak polis masih berusaha mengesan ahli lain yang dipercayai bertindak sebagai penghantar.

“Selain memproses dadah, sindiket ini juga menghasilkan cecair vape yang mengandungi dadah,” katanya sambil memberitahu pasangan itu kini ditahan reman hingga Sabtu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya