MELAKA: Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menafikan alasan diberikan pasangan pesalah di Mahkamah Majistret di sini, Rabu lalu mereka mencuri 19 peket minuman malt coklat berjenama Milo dua kilogram (kg) di sebuah pasar raya di Ayer Keroh adalah untuk menampung kos rawatan dialisis ibu kepada tertuduh lelaki.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, semakan mendapati status tertuduh wanita ialah isteri orang, manakala tertuduh lelaki merupakan kekasihnya.
Ujarnya, perkara itu disahkan setelah Skuad Agihan Zakat Cawangan Merlimau bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) melakukan lawatan ke rumah pesalah lelaki, semalam.
“Skuad kita telah ke rumah pesalah lelaki di Kampung Berangan Enam dan mendapati ibunya hanya menghidap kencing manis dan pesalah wanita bukanlah ahli keluarga tersebut.
“Pesalah wanita masih berstatus isteri orang, manakala suami sahnya merupakan penerima aktif bantuan MAIM bagi Bantuan Makanan Kecemasan, Bantuan Makanan Bulanan, Bantuan Saraan Anak Sekolah dan juga Bantuan Pakaian Sekolah berjumlah RM940 sejak 2018 hingga sekarang,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Mahkamah Majistret mengenakan hukuman penjara selama 28 hari bersama denda RM3,000 kepada pasangan itu, selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah bagi pertuduhan mencuri 19 peket minuman malt coklat berjenama Milo, bulan lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Peguam Nigel Tai merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan anak guamnya perlu menampung kos rawatan dialisis ibu kepada tertuduh lelaki.