Orang Asli gembira BN menang

Orang Asli gembira BN menang

MASYARAKAT Orang Asli memberi sokongan penuh kepada calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri , kelmarin. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli merupakan paling gembira apabila Barisan Nasio­nal (BN) merampas semula kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK), kelmarin.

Penduduk Pos Pulat, Khatijah Kewah, 55, berkata, ini kerana pemimpin BN banyak berjasa kepada mereka dengan menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan.

Menurutnya, pemimpin BN sebelum ini sentiasa mendekati masyarakat Orang Asli dan dia berharap calon BN yang baharu menang dapat mengambil tindakan sama.

“Sejak setahun lalu, kami tidak pernah berjumpa dan mengenali bekas wakil rakyat Nenggiri dari parti Pas.

“Aktiviti dan program di kawasan kampung juga hanya dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mah Kunoh, 30, pula memberitahu, dia sangat gembira dengan kemenangan semula BN dan tidak sabar untuk berjumpa wakil rakyat baharu.

Katanya, dia sudah mengenali Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani (calon BN) kerana beliau sudah beberapa kali berkunjung ke Pos Pulat bersama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff.

“Masyarakat Orang Asli di DUN Nenggiri mahu pemimpin berjiwa rakyat yang cakna de­ngan isu setempat.

“Kami berharap wakil rakyat baharu dapat meneruskan pembangunan sosioekonomi dan kemudahan infrastruktur asas di kampung kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN