Operasi SAR hari ketujuh tumpu lurang utama - Utusan Malaysia

Operasi SAR hari ketujuh tumpu lurang utama

jerlus
Lubang akibat tanah mendap di Jalan Masjid India. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India, Vijaya Lakshmi, 48, yang memasuki hari ketujuh hari ini masih belum menemukan sebarang petunjuk baharu walaupun pelbagai teknik digunakan dalam insiden tanah jerlus di Masjid India di sini.

Pelbagai teknik khusus berteknologi tinggi antaranya flushing, penggunaan pancutan air tekanan tinggi untuk mengalihkan halangan, kamera kawalan jauh, dan radar menembusi tanah untuk memetakan kawasan yang sukar diakses atau Ground Penetrating Radar (GPR) selain kepakaran pasukan SAR iaitu penyelam dari Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).

Selain itu, dua ‘pakar’ Unit Pengesan (K9), Frankie dan Denti turut digunakan bagi mencari wanita warga India terbabit.

Operasi SAR kini menumpukan kawasan lurang (manhole) kumbahan pertama iaitu di lokasi kejadian mangsa terjerlus pada Jumaat lalu.

Setakat pukul 2 petang ini, pasukan SAR mengesan halangan berupa objek yang tersekat di antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua iaitu terletak kira-kira 80 meter.

Bagaimanapun, tiada sebarang penemuan atau petunjuk baharu sehingga kini.

Setakat ini kerajaan memberi jaminan akan tetap meneruskan operasi SAR sehingga mangsa ditemukan.

Turut berlaku satu lagi kejadian tanah mendap,kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian awal pagi Rabu ekoran hujan lebat, hari sebelumnya.

Kejadian itu telah menimbulkan keresahan dan ketakutan orang ramai termasuk pelancong di Masjid India di sini.

Insiden kedua itu turut menjejaskan premis-premis perniagaan di sekitar kawasan itu apabila kebanyakan mereka mengalami penurunan jualan hampir 50 peratus.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika sidang akhbar di lokasi kejadian semalam memberi jaminan kawasan terbabit masih selama selain mengarahkan agensi-agensi berkaitan melaksanakan audit integriti bagi mengenal pasti punca sebenar beberapa kejadian tanah jerlus di sekitar Masjid India di sini.

Namun, ia akan dilaksanakan selepas SAR selesai dan fokus utama bagi mencari wanita warga India terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN