Negeri Sembilan kaji cadangan naik taraf terminal bas di setiap daerah - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan kaji cadangan naik taraf terminal bas di setiap daerah

AMINUDDIN Harun pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan melakukan kajian bagi cadangan menaik taraf terminal bas di seluruh daerah ini bagi menyokong sistem pengangkutan awam bas henti-henti yang beroperasi di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kajian tersebut penting bagi mengelakkan penyediaan kemudahan terminal bas itu kelak hanya menjadi ‘gajah putih’ kerana kurang mendapat sambutan masyarakat.

“Tidak guna kalau kita buat sesuatu yang tidak memberikan manfaat sepenuhnya kepada masyarakat, kita tambah baik selepas itu ditinggalkan semula jadi ‘gajah putih’. Jika betul memberikan manfaat kepada penduduk, tiada masalah untuk kerajaan negeri kaji penyediaan terminal di daerah-daerah.

“Di Port Dickson, kita lihat (terminal bas) kosong sahaja, jadi masalah pula untuk diselenggara, sudah buat kena selenggara, itu yang jadi masalah. Kalau beri manfaat dan ramai yang guna, insya-Allah kita buat dan berikan perubahan yang lebih baik di tempat sedia ada tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini berkata, bagi memastikan pengangkutan awam termasuk operasi bas henti-henti menjadi mod pilihan rakyat, kerjasama erat diperlukan di semua peringkat untuk membina satu ekosistem pengangkutan awam yang mantap.

Ia termasuklah menerusi kewujudan perhentian bas yang selesa, papan maklumat yang jelas dan laluan pejalan kaki yang selamat adalah antara elemen penting dalam melengkapkan ekosistem pengangkutan awam dan kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu memainkan peranan yang penting dalam konteks tersebut.

Sementara itu, Aminuddin memaklumkan, inisiatif perkhidmatan bas percuma yang disediakan kerajaan negeri di bandar ini dan beberapa buah daerah lain telah dihentikan tahun ini.

“Ia selepas melihat sambutan masyarakat yang kurang menggalakkan. Sekarang pun sudah ada perkhidmatan BAS.MY (bas henti-henti) yang digerakkan ke semua daerah. Kerajaan negeri tidak akan teruskan (bas percuma) kerana tiada sambutan malah hanya banyak digunakan oleh warga asing.

“Lebih baik kerajaan negeri beri tumpuan kepada banyak inisiatif lain yang memberi manfaat kepada penduduk. Sekarang ada (perkhidmatan) bas lain yang masuk ke seluruh negeri, jika menggalakkan, tiada masalah untuk kerajaan negeri kaji semula untuk laksanakan (bas percuma pada masa hadapan,” kata beliau lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN