Nasib Bangladesh masih samar-samar - Utusan Malaysia

Nasib Bangladesh masih samar-samar

PENUNJUK perasaan bertempur dengan polis semasa protes di Dhaka, Bangladesh pada 30 Julai lepas.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Nasib 171.2 juta rakyat Bangladesh masih samar-samar dan berdepan ketidaktentuan walaupun Sheikh Hasina meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kelmarin selepas beberapa minggu protes antikerajaan berlangsung.

Meskipun situasi bertambah reda kerana rakyat menyambut keputusan tersebut, namun nasib mereka masih tidak menentu terhadap hala tuju kerajaan sementara bagi mentadbir negara.

Selepas akses internet pulih sepenuhnya manakala perin­tah berkurung ditarik gara-gara sekatan dibuat Hasina, bagaimanapun masih terdapat orang ramai berhimpun di kawasan tumpuan antaranya kediaman rasmi Perdana Menteri dan Bangunan Parlimen.

Justeru itu antara fokus utama untuk memulihkan negara adalah mengembalikan kepercayaan rakyat dan memulihkan keadaan ekonomi yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan sementara menerusi pengli­batan golongan bipartisan.

Memandangkan kumpulan protes menolak kerajaan sementara ditadbir tentera, maka timbul cadangan agar pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus dijadikan calon sesuai memimpin sementara Bangladesh.

Sebelum ini, Presiden Bangladesh dan Ketua Tentera negara itu berkata, bahawa kerajaan sementara akan dibentuk tidak lama lagi.

Namun penganjur protes pelajar Bangladesh, Nahid Islam berkata, pihaknya telah pun berbincang dengan Muhammad Yunus dan beliau bersetuju untuk mengambil alih mengambil kira kepada situasi negara tersebut buat masa sekarang.

Kelmarin, pengunduran Ha­sina selepas beberapa minggu protes antikerajaan, mengakhiri dominasinya dalam politik negara selama lebih dua dekad sekali gus mengakhiri legasi politik keluarga pengasas Bangladesh, Sheikh Mujibur Rahman yang merupakan bapa kepada wanita tersebut.

Sejurus tersingkir, beliau kemudian melarikan diri menaiki helikopter ke India ketika demonstrasi besar-besaran terhadap kerajaan sema­kin meningkat.

Pengunduran Hasina menjadi berita gembira kepada puluhan ribu penunjuk perasaan yang tanpa henti turun ke jalanan bagi menuntut beliau meletak jawatan, rentetan daripada siri awal demonstrasi pelajar melibatkan kuota pekerjaan sektor awam.

Orang ramai memenuhi jalan untuk meraikan berita tersebut, dengan sebahagian daripada mereka menyerbu kediaman Perdana Menteri dan dilaporkan merompak serta merosakkan premis kediaman itu.

Bangunan polis dan kerajaan lain turut diserang serta dibakar, malah penunjuk perasaan cuba merobohkan patut pe­mimpin kemerdekaan, Sheikh Mujibur Rahman.

Beberapa jam selepas peletakan jawatan itu, Presiden Bangladesh, Mohammed Shahabuddin mengarahkan pembebasan bekas Perdana Menteri, Khaleda Zia dan semua pelajar yang ditahan semasa protes sistem kuota.

TUDUHAN RAZAKAR

Keganasan dan kebencian yang memuncak terhadap kerajaan bermula apabila Hasina enggan memenuhi tuntutan penentang kuota serta melabel mereka sebagai ‘razakar’.

Di Bangladesh, razakar adalah istilah yang sangat menghina kerana ia bermaksud sukarelawan tetapi merujuk kepada mereka yang menyokong operasi tentera Pakistan untuk memadamkan perang pembebasan Bangladesh 1971 serta dituduh melakukan jenayah kejam.

Hasina dikenali kerana menggunakan istilah ini untuk melabel sesiapa sahaja yang beliau anggap sebagai ancaman atau penentang sepanjang lebih 15 tahun memerintah.

Beliau pertama kali menjadi Perdana Menteri selepas parti Liga Awami pimpinannya memenangi pilihan raya pada 1996.

Hasina yang berkuasa semula pada 2009, membantu mencapai pertumbuhan ekonomi mengagumkan, namun pada masa sama beliau menjadi semakin autokratik serta menindas kebebasan bersuara.

Sebagai ketua kerajaan wa­nita paling lama di Bangladesh, pemerintahan Hasina sangat sinonim dengan penggunaan pasukan keselamatan dan pa­sukan separa tentera, Batalion Tindakan Pantas.

Beliau didakwa menggunakan unit ini untuk menculik dan membunuh ahli pembangkang atau penentangnya, serta memanipulasi pilihan raya.

Menurut pengkritik, badan kehakiman, yang bersifat bipartisan, menjadi terjejas semasa tempoh pemerintahan Hasina, sehingga ketua hakim terpaksa melarikan diri dari negara selepas menentangnya dalam satu keputusan.

Selain itu, media arus perdana juga berada di bawah kawalan Hasina untuk membentuk dan mengekalkan naratif terhadap lawannya.

Sebahagian besar media arus perdana di Bangladesh dimiliki oleh perniagaan yang mempunyai hubungan dengan Liga Awami.

Bagaimanapun, sistem autokratik Hasina sudah tidak lagi berkesan untuk mengawal keganasan yang meluas di seluruh negara itu.

Beliau membuat kesilapan besar apabila melabel pelajar yang berdemonstrasi untuk reformasi kuota pekerjaan sebagai razakar, sehingga menjerumuskan hayat politiknya berakhir dalam keadaan menyedihkan.

Namun nasib jutaan rakyat kini terletak kepada kerajaan sementara. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya