Nasi Arab Elhumaira, paduan cita rasa Asia Barat, Melayu

Nasi Arab Elhumaira, paduan cita rasa Asia Barat, Melayu

PEMILIK Nasi Arab El Humaira, Ahmad Dziaulhaq Ahmad bersama isterinya, Ilham Mohamad Bakhir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NASI Mandy merupakan hidangan yang seringkali dipengaruhi cita rasa Arab dan Asia Barat namun aroma yang khusus itu tidak selalu ‘kena’ dengan tekak orang tempatan.

Oleh itu, Nasi Arab Elhumaira di Pendang, Kedah ini mempunyai kelainan. Restoran yang dimiliki suami isteri Ahmad Dziaulhaq Ahmad, 35, dan Ilham Mohamad Bakhir, 34, ini menyediakan menu dari Asia Barat dengan cita rasa Malaysia.

Nasi beraroma pelbagai jenis rempah ratus dilengkapi dengan daging ayam atau kambing yang empuk berempah menawan selera penggemar menu ini.

Pelbagai menu makanan Arab boleh menjadi pilihan pelanggan daripada Nasi Arab Mandy Ayam, Mandy Kambing, Mandy Ayam dan Kambing Dulang, Shawarma Ayam dan Kambing. Tidak ketinggalan pelbagai jenis masakan Eropah serta Barat seperti pasta dan chicken chop untuk memberi lebih pilihan kepada pelanggan.

Keistimewaan menu Nasi Arab Elhumaira ini barangkali bukan sekadar saiz hidangan nasinya yang berlambak sehingga sengkak perut, namun olahan masakan Arab bersama selera tekak orang Malaysia.

NASI ARAB ELHUMAIRA
Lokasi :  7 Persiaran Cemerlang Taman Cemerlang 06700 Pendang, Kedah
Masa : Operasi 11 pagi hingga 11 malam

Paling ketara, sambal nasi Arab ini yang menggunakan resipi khusus bersesuaian dengan selera orang Malaysia kerana ia lebih pedas dan menyengat berbanding resipi asal dari bumi Hikayat 1001 Malam itu.

Selain itu, rempah ratus yang digunakan untuk memerap ayam yang dimasak menggunakan ‘press cooker’ turut diolah dengan resipi keluarga pemilik restoran ini.

 

 

Menurut Ahmad Dziaulhaq, restoran tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan penggemar nasi Arab yang menginginkan kelainan berbanding menu yang disediakan oleh chef asal daripada negara Arab yang tumbuh bak cendawan selepas hujan ketika ini.

“Untuk bersaing kami ingin membuat kelainan iaitu resipi nasi Arab kami diolah serba sedikit dengan cita rasa orang Malaysia. Misalannya, dari segi pembuatan sambal nasi Arab, ia lebih pedas.
“Ini kerana kita memahami orang Malaysia memang suka makan pedas-pedas.” katanya.

Menurut beliau, setakat ini restoran Nasi Arab Elhumaira itu mempunyai dua lagi cawangan iaitu di Kuala Ketil, Baling dan Sungai Petani, Kuala Muda.
“Di Pendang ini cawangan yang ketiga. Kami buka cawangan ini selepas pandemik Covid-19 selesai bermula dengan gerai sahaja namun setelah melihat sambutan yang meng­galakkan kami buka restoran,” katanya.

Katanya, menu di sini termasuk minuman disediakan bermula daripada harga RM7 hingga RM70.

“Portion bagi setiap pinggan atau dulang adalah banyak jadi boleh berkongsi. Sebagai contoh set dulang Nasi Arab Ayam dan Kambing boleh dikongsi sehingga lima orang.

“Kami juga sering mengadakan promosi diskaun untuk pelanggan. Kami bukan sekadar untuk berniaga sahaja tetapi membolehkan orang ramai menikmati masakan Arab ini tanpa perlu merobek poket mereka. Semua orang boleh mencuba,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya