Melati si gadis AS seronok saksi Hari Kebangsaan - Utusan Malaysia

Melati si gadis AS seronok saksi Hari Kebangsaan

RACHEL Bailey dan Nurul Jannah Abu Bakar bergambar bersama anggota ATM ketika sambutan Hari Kebangsaan Malaysia di Dataran Segamat pagi ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Seorang warga Amerika Syarikat (AS) berasa seronok dan bertuah apabila dia berpeluang menyaksikan sendiri perbarisan Hari Kebangsaan ke-67 Peringkat Negeri Johor di Dataran Segamat hari ini.

Menurut Rachel Bailey, 17 atau nama timangannya, Melati, ini adalah pertama kali dia menjejakkan kaki ke bumi Segamat dan hadir pada Hari Kebangsaan yang meriah pagi ini.

“Saya sampai ke Segamat baru-baru ini di mana saya akan berada di Malaysia selama 10 bulan bersama keluarga angkat saya orang Malaysia.

“Saya sangat teruja melihat anggota keselamatan negara Malaysia yang segak berpakaian uniform serta ramai orang Malaysia juga datang untuk menyaksikan Hari Kemerdekaan Malaysia hari ini.

“Hari ini hari bersejarah untuk Malaysia dan ia juga hari bersejarah buat saya di mana saya pertama kali menyaksikan Hari Kemerdekaan Malaysia.

“Saya adalah pelajar pertukaran dari AS ke Malaysia dan menerusi program ini, saya dapat mempelajari pelbagai perkara termasuk budaya dan sosial di Malaysia,” katanya.

Tambah Rachel yang merupakan anak bongsu daripada dua adik-beradik ini, dia berasa kehadirannya hari ini banyak membantu untuk dia mengenali dan berasa lebih dekat dengan masyarakat Malaysia yang majmuk.

“Hari Kebangsaan hari ini lebih kurang dengan sambutan kemerdekaan negara saya, iaitu ada perbarisan, perarakan kontinjen-kontnijen bersama pasukan berkuda dan pasukan keselamatan serta masyarakat setempat.

“Keluarga angkat saya banyak membantu saya memahami dengan lebih mendalam budaya serta kepercayaan rakyat Malaysia dan negara ini  aman serta  selamat untuk dikunjungi,”kongsinya.

Sementara itu, keluarga angkat Rachel, Nurul Jannah Abu Bakar, 41, berkata, dia sebagai ‘Host Mom’ kepada Rachel sangat berbesar hati membawanya ke acara sambutan hari ini.

“Kami sekeluarga memberi nama Malaysia kepada Rachel iaitu Melati bertujuan untuk dia merasa lebih mesra dan dekat dengan budaya kita. Saya bersyukur dapat membawa Melati menyantuni negara kita dan melihat tradisi serta rakyat berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN