Masyarakat Siam jayakan konvoi merdeka bawa mesej patriotik

Masyarakat Siam jayakan konvoi merdeka bawa mesej patriotik

SEBAHAGIAN daripada masyarakat Siam menyertai konvoi motosikal sempena sambutan kemerdekaan negara di Wat Phikulthong Vararam di Kampung Terbak, Tumpat, Kelantan-UTUSAN/ROHANA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Seramai 2,000 masyarakat Siam dari seluruh negara berhimpun Wat Phikulthong Vararam, Kampung Terbak bagi menjayakan konvoi kereta dan bermotosikal sambil membawa mesej patriotik sempena sambutan kemerdekaan negara ke-67 esok.

Presiden Persatuan Siam Malaysia Sam Maark Suvanphet berkata, mesej itu dizahirkan melalui kibaran Jalur Gemilang.

Menurutnya, walaupun kaum monoriti namun semangat kemerdekaan tetap menebal dalam diri.

“Kami juga merupakan sebahagian daripada rakyat Malaysia, jadi ini merupakan salah satu manifestasi kecintaan pada negara.

“Oleh itu, nikmat kemerdekaan yang dikecapi hari ini perlu terus dijaga dengan sebaik mungkin khususnya oleh generasi muda,” katanya ketika ditemui pemberita di Wat Phikulthong Vararam di sini hari ini.

Sam Maark memberitahu, menariknya seluruh masyarakat Siam di negara ini termasuk Cina dan India turut menjayakan konvoi ini.

Katanya, selain konvoi persembahan kebudayaan seperti gedombak panjang, tarian kebudayaan masyarakat Siam, sukaneka dan upacara keagamaan turut dijalankan.

“Besar harapan kami agar semangat perpaduan dalam kalangan bangsa yang ada di Malaysia kekal subur sampai bila-bila,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Siam Kelantan Ah Rin Alak berkata, kemerdekaan negara yang dikecapi hari ini adalah hasil perjuangan nenek moyang terdahulu dalam melawan penjajah.

Katanya, nikmat ini perlu terus dipertahankan sekali gus dapat diwarisi oleh genarasi masa hadapan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN