Masyarakat Nenggiri letak harapan BN ubah nasib mereka - Khaled Nordin - Utusan Malaysia

Masyarakat Nenggiri letak harapan BN ubah nasib mereka – Khaled Nordin

KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Kerajaan Negeri Kelantan seharusnya menggunakan platform Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk menjelaskan isu berkaitan kawasan setempat bagi meraih sokongan pengundi, bukan bercakap perkara yang secara keseluruhan hanya membabitkan isu di peringkat nasional sahaja.

Namun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, suara rakyat di Nenggiri itu dilihat tidak dilontarkan oleh Perikatan Nasional (PN), sekali gus pengundi di kawasan kubu kuat Pas memilih UMNO Barisan Nasional (BN) sebagai harapan untuk membawa perubahan nasib mereka ke arah yang lebih baik.

“Sewajarnya kerajaan negeri menggunakan gelanggang itu untuk menjelaskan dan menerangkan kepada pengundi mengenai program dan hala tuju, tindakan yang dibawa kerajaan negeri Kelantan untuk membangunkan negeri.

“Tetapi kalau kita dengar pada kempen yang dilakukan, langsung tidak ada. Jadi, apa maknanya akar umbi nak memberi sokongan kepada calon BN yang tidak membawa kepada apa-apa? Sepatutnya PRK ini adalah satu peluang kerajaan negeri untuk mendapatkan sokongan dari rakyat, sokong calon mereka, mendukung hasrat, matlamat dan segala perancangan dan dasar yang nak di bawa ke negeri Kelantan.

“Tetapi itu tidak berlaku, mungkin kerana dah menjadi ‘peel’ (perangai) mereka untuk menggunakan apa sahaja platform politik untuk mencaci, memfitnah, merendah-rendahkan pihak lawan atau mungkin mereka tiada sebarang hasrat atau perancangan, bukan sahaja untuk kawasan PRK, malah mungkin di peringkat negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Jelas Khaled, isu-isu yang dibawa PN ketika berkempen di Nenggiri juga adalah perkara yang jauh terpisah daripada realiti sebenar penduduk di pedalaman, sekali gus menyebabkan PN tidak menjadi pilihan sehingga menyebabkan calonnya, Mohd Rizwadi Ismail tewas di tangan BN dengan majoriti yang besar.

“Saya percaya masyarakat ini sudah muak dan seluruh negara muak dengan politik seumpama ini, ini bukan politik membangun, tetapi ini adalah politik yang membinasakan sokongan. Sepatutnya politik dalam pilihan raya adalah masa untuk memberitahu kita adalah lebih baik dari lawan, kita boleh buat lebih baik dari pesaing tetapi itu tidak diberikan,” ujarnya.

Dalam PRK Nenggiri, calon BN, Mohd Azmawi Fikri menang dengan 9,091 undi manakala pencabarnya, Mohd Rizwadi yang meraih 5,739 undi sekali gus menyaksikan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan itu menang dengan majoriti 3,352 undi.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled turut berkata, kemenangan di PRK Nenggiri adalah suatu yang berharga bagi menyuntik kembali semangat ahli UMNO untuk terus bangkit dalam mendepani pilihan raya akan datang.

“Kita boleh lihat bagaimana all the top gun PN, tokoh besar PN mengambil peranan betul-betul aktif bagi memastikan mereka menang dalam PRK ini dan nak pastikan UMNO tidak boleh bangkit semula.

“Tetapi keputusan yang keluar.. ia merupakan sesuatu yang sangat berharga dan bermakna, setinggi kesyukuran dan penghargaan terima kasih kepada pengundi di Neggiri dan semua jentera parti-parti termasuklah Presiden parti dalam nak memastikan pengundi di neggiri itu memberi sokongan kepada BN.

“Walaupun mungkin ini merupakan pilihan raya di peringkat negeri, tetapi mereka memilih BN walaupun mereka tahu BN tak boleh ubah apa-apa, tetapi ia sangat signifikan dan menunjukkan bahawa pengundi di sana, kawasan luar bandar walaupun kawasan itu pedalaman dan ramai orang asli, tetapi mereka hantar mesej soal kehidupan mereka itu penting dan ia juga petanda mereka meletak harapan tinggi kepada BN untuk selesaikan masalah mereka, maknanya mereka tidak yakin dan tidak percaya kepada Pas Kelantan untuk selesaikan masalah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya