Maqis gagalkan cubaan bawa masuk pokok hiasan tanpa permit - Utusan Malaysia

Maqis gagalkan cubaan bawa masuk pokok hiasan tanpa permit

POKOK tanaman hiasan pelbagai jenis tanpa permit yang sah dari Indonesia dirampas pihak Maqis dan JKDM di Jeti Penumpang Port Dickson, minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk pokok tanaman hiasan pelbagai jenis tanpa permit yang sah dari Indonesia di Jeti Penumpang Port Dickson, di sini, minggu lalu.

Pengarah Maqis Melaka dan Negeri Sembilan, Nora Dinah Abdul Rahman berkata, kegiatan itu terbongkar selepas pihaknya bersama JKDM menjalankan pemeriksaan terhadap bagasi yang dibawa seorang individu kira-kira pukul 3 petang, 20 Ogos lalu.

“Hasil daripada pemeriksaan lanjut yang dijalankan, KAMI menemui tanaman hiasan. Walaupun nilai rampasan rendah namun risiko kemasukan perosak bersama dengan komoditi yang disita boleh menjejaskan industri pertanian negara.

“Individu tersebut juga didapati gagal mengemukakan Permit Import MAQIS dan Sijil Fitosanitasi dari negara asal yang sah serta menyembunyikan kesemua pokok tanaman hiasan ke dalam bagasi bertujuan mengaburi mata pihak penguat kuasa,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Nora Dinah lagi, tanaman hiasan yang ditahan itu adalah daripada spesies Alocasia, Dracaena, Aglaonema, Catasetum, Callisia, Euphorbia dan lain-lain lagi.

Menurutnya, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa Permit Import yang sah daripada Jabatan Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya