KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menawarkan peluang kepada 15 pelajar dari Namibia untuk menyambung pengajian di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, peluang pengajian dengan biasiswa penuh MAIPs itu akan diselaraskan di bawah kendalian Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Windhoek, Namibia.
“Biasiswa ini tidak termasuk tiket penerbangan dan para calon hendaklah layak serta mendaftarkan diri di KUIPs dalam tempoh dua tahun ini,” titah baginda ketika berkenan mengadakan lawatan ke Madrasah Al-Hidayah di bandar Windhoek sempena Safar Ilmi MAIPs ke negara tersebut, baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan disambut oleh Guru Kelas serta Pentadbir Agama Masjid tersebut, Aisha Hamam Al Jassin.
Menerusi lawatan itu, Tuanku Syed Faizuddin dan delegasi turut menghabiskan masa kira-kira 45 minit untuk beramah mesra bersama para pelajar Madrasah tersebut.
Dalam program sama, MAIPs juga berkesempatan menyampaikan sumbangan Fi Sabilillah untuk aktiviti dakwah dan pendidikan kepada madrasah itu.
Untuk rekod, Madrasah Al-Hidayah menyediakan peluang pendidikan kepada anak-anak masyarakat Muslim di sekitar kawasan Katutra, Bandaraya Windhoek.-UTUSAN