MARAN: Warga Felda Kampung Awah khususnya generasi kedua tanah rancangan terbabit sudah lebih 10 tahun menanti rumah menerusi projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) siap dibina di situ.
Sehingga kini, projek tersebut masih terbengkalai dan mencacatkan pemandangan kerana lokasinya terletak ditepi jalan utama tanah rancangan terbabit dan betul-betul berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) (RKTP) Kampung Awah.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, lokasi projek berkenaan yang kini dikenali sebagai Rumah Pahang bebas dimasuki oleh sesiapa sahaja kerana tidak tertutup dan tanpa pengawasan pihak bertanggungjawab.
Hasil tinjauan juga mendapati, terdapat struktur binaan rumah seperti tiang yang rosak dan tumbang dipercayai ditiup angin kerana lama dibiarkan begitu sahaja.
Seorang peneroka ganti di Felda Kampung Awah, Rahmat Rahim, 54, berkata, penantian untuk 56 unit rumah PGBF siap ibarat satu penyiksaan buat generasi kedua di situ.
“Isu ini bukan baharu, sudah lebih 10 tahun rumah ini terbengkalai dan walaupun diambil alih oleh kontraktor baharu, ia tetap sama.
“Saya tidak tahu apa masalah untuk menyiapkan projek ini. Kami generasi kedua dan ketiga di sini begitu memerlukan kediaman sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mengulas lanjut, Rahmat berkata, ketika ini, rata-rata generasi kedua di tanah rancangan itu kecewa kerana terlalu lama menanti untuk memiliki kediaman sendiri.
“Di Kampung Awah ini memang ramai generasi kedua begitu memerlukan rumah, tetapi isu utamanya ramai juga tak mampu beli rumah kerana tiada slip gaji dan sebagainya tetapi menetap di sini.
“Kami harap kerajaan dan Felda buat sistem sewa atau sewa beli kerana ramai yang tidak layak buat pinjaman bank. Jadi, bina rumah di tanah-tanah kosong yang banyak dalam kawasan Felda di sini, buat sewa. Saya yakin ramai yang akan menyewa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan KMDI Holdings Sdn. Bhd., Datuk Azjuriyahti Azlan yang merupakan pemaju projek berkenaan berkata, projek Rumah Pahang di Kampung Awah tidak terbengkalai sebaliknya masih menunggu kelulusan daripada pihak pejabat tanah dan jabatan-jabatan berkenaan.
Jelasnya, projek berkenaan dijangka dimulakan semula sepenuhnya pada awal 2025 dengan jangkaan siap selewat-lewatnya suku pertama 2026.
Difahamkan, projek PGBF itu diambil alih kerajaan negeri diberi nama Rumah Pahang dan diserahkan kepada KMDI pada 2022 untuk menyiapkan 56 unit rumah di Kampung Awah. – UTUSAN