PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengemukakan 635 nama pengarah syarikat ke pada Jabatan Imigresen antara Januari dan Jun tahun ini bagi menghalang mereka meninggalkan negara.
Halangan tersebut tertakluk selagi mereka belum menjelas kan terlebih dahulu tunggakan caruman KWSP seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991.
Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin berkata, pihaknya mengingatkan semua majikan agar membayar caruman pekerja masing masing dengan segera seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 43(1) Akta KWSP.
“Kegagalan membayar caruman KWSP pada masanya merupakan satu kesalahan serius dan KWSP tidak teragak-agak untuk menggunakan penyelesaian undang-undang terhadap majikan yang ingkar termasuk tindakan sivil dan jenayah bagi melindungi hak pekerja,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, caruman bulanan menunjukkan komitmen majikan terhadap kesejahteraan pekerja dan bagi memenuhi kewajipan undang undang.
Menurutnya, KWSP akan terus menguatkuasakan dan memantau majikan bagi memastikan semua jumlah tertunggak dibayar sepenuhnya.
“Sehingga Jun 2024, sejumlah 13,820 majikan atau 2.02 peratus daripada keseluruhan 685,399 majikan yang berdaftar dengan KWSP telah gagal membayar caruman pekerja mereka.
“Bagi tempoh sama, seramai 12,787 pengarah syarikat telah dihalang keluar negara akibat tunggakan caruman seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991,” ujarnya.
Tambahnya, dalam tempoh antara Januari dan Jun lalu, sebanyak 1,932 saman sivil difailkan terhadap pengarah syarikat manakala 2,200 kes jenayah di failkan terhadap majikan yang ingkar caruman KWSP bulanan pekerja mereka.
“KWSP menasihati ahli agar menyemak akaun KWSP mereka secara berkala melalui aplikasi KWSP i-Akaun bagi memastikan caruman daripada majikan mereka dibayar dengan tepat jumlahnya dan pada masanya.
“Sekiranya terdapat percanggahan, ahli hendaklah menghubungi majikan mereka dengan segera atau melaporkan kepada KWSP melalui laman web KWSP, www.kwsp.gov.my atau menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000,” jelasnya.
Dalam pada itu, KWSP amat menggalakkan majikan untuk menggunakan platform KWSP i-Akaun bagi membolehkan menyemak dengan selamat senarai pekerja bagi caruman yang telah dibayar serta sejarah pembayaran mereka.- UTUSAN