KPDN cadang anjur Jualan Rahmah Madani skala lebih besar - Utusan Malaysia

KPDN cadang anjur Jualan Rahmah Madani skala lebih besar

ARMIZAN Mohd. Ali bersama pengunjung yang hadir pada Karnival Jualan Rahmah Madani Negeri Sembilan 2024 di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang untuk meningkatkan keberkesanan Program Jualan Rahmah Madani iaitu menerusi pelaksananan Karnival Mega Jualan Rahmah Madani pada tahun depan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, program itu akan dilaksanakan dengan skala dan kapasiti lebih besar di kawasan tertentu di seluruh negara yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

“Sekarang sudah ada beberapa siri dialog dan juga pada penghujung bulan ini akan ada perjumpaan di antara KPDN dan juga Kementerian Kewangan untuk melihat apakah cadangan daripada KPDN untuk inisiatif 2025.

“Antaranya kami memohon untuk meneruskan Program Jualan Rahmah Madani dan salah satu penambahbaikan dicadangkan untuk memperkenalkan inisiatif baharu yang dinamakan Karnival Mega Jualan Rahmah Madani.

“Ia akan dibuat dalam kawasan tertentu yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, ia akan dibuat pada kapasiti dan skala besar kerana ada tempat tertentu apabila dilaksnakan Program Jualan Rahmah Madani, barang-barang yang dibawa tidak mencukupi kerana respon cukup baik daripada pengguna,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Jualan Rahmah Madani Negeri Sembilan 2024 di Batu 1, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Armizan berkata, pihaknya berharap peruntukan tambahan akan diberikan pihak Kementerian Kewangan kepada KPDN bagi tujuan pelaksanaan program tersebut.

“Bagi tahun 2024, KPDN telah mendapat peruntukan sebanyak RM150 juta untuk pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani di seluruh negara.

“Saya harap Kementerian Kewangan akan pertimbangkan untuk kita meneruskan program ini dengan peruntukan RM150 juta dan peruntukan tambahan turut dipertimbangkan untuk pelaksanaan Karnival Mega Jualan Rahmah Madani dalam skala yang besar,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, setakat 1 Januari sehingga 31 Julai lalu, KPDN telah melaksanakan sebanyak 5,860 Program Jualan Rahmah Madani di seluruh negara termasuk 342 siri penganjuran di Negeri Sembilan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN