Kosmetik timbang kilo lebih setengah juta dirampas

Kosmetik timbang kilo lebih setengah juta dirampas

WAN Jamal Abdul Salam Wan Long (tengah) memeriksa kosmetik yang dirampas di JKDM Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan-UTUSAN/ROHANA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas kosmetik ‘timbang kilo’ yang dianggarkan bernilai setengah juta ringgit termasuk cukai dirampas selepas menyerbu sebuah rumah terbiar di Kampung Bunohan di sini dua minggu lalu.

Serbuan dijalankan oleh Pasukan Marin Kastam Penguat Kuasa Pengkalan Kubor, JKDM Kelantan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira pukul 3 petang pada 18 Ogos lalu selepas membuat intipan selama dua minggu.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu berada di dalam rumah tersebut semasa serbuan dijalankan.

Menurutnya, siasatan mendapati, rumah terbiar itu dijadikan stor untuk menyimpan produk kosmetik timbang kilo yang diseludup dari Thailand.

“Pemeriksaan di dalam rumah tersebut kemudian menjumpai pelbagai produk kosmetik seperti krim muka, sabun dan serum bernilai lebih RM568,000 dengan cukai kira-kira RM56,817.

“Siasatan lanjut mendapati, penyeludup membawa masuk barangan kosmetik tersebut dari negara jiran dengan menyeberangi Sungai Golok menggunakan bot sebelum ada individu menunggu di pangkalan haram,” katanya pada sidang akhbar Cawangan Penguatkuasa JKDM Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, kesemua barangan kosmetik itu dipunggah ke dalam kereta sebelum ia dibawa dan disimpan di dalam stor tersebut.

Katanya, barangan kosmetik timbang kilo itu kemudian diedarkan sebelum ia dibungkus di kilang-kilang kosmetik di seluruh negara.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu melindungi, menyimpan, menyembunyi atau mempunyai dalam milikannya barangan tidak berkastam atau barang larangan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN