SEOUL: Parlimen Korea Selatan semalam meluluskan satu rang undang-undang yang membenarkan jururawat melakukan beberapa prosedur perubatan yang biasanya dilakukan oleh doktor.
Reuters melaporkan, ia susulan tindakan ribuan doktor pelatih yang meletak jawatan pada Februari lalu bagi membantah rancangan kerajaan untuk meningkatkan bilangan pelajar perubatan.
Selama bertahun-tahun, kumpulan pelobi dan kesatuan jururawat berusaha memperjuangkan nasib mereka, tetapi sia-sia ekoran tentangan keras daripada doktor dan birokrasi.
Namun, kebimbangan telah meningkat mengenai beban kerja baik dari segi undang-undang mahupun tugas yang kini ditanggung oleh jururawat.
Persatuan Jururawat Korea menyambut baik rang undang-undang itu, menyifatkan ia adalah hasil daripada perjuangan selama 19 tahun.
“Keputusan yang diumumkan hari ini membuka laluan untuk mewujudkan sistem penjagaan kejururawatan yang berkesan.
“Ia juga meletakkan asas bagi kerajaan untuk melatih jururawat yang cemerlang,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, persatuan doktor terbesar di negara ini, Persatuan Perubatan Korea, menuduh kerajaan cuba memecah belahkan kakitangan hospital dan berkata undang-undang tersebut akan menjejaskan pesakit.
“Sektor perubatan akan menjadi huru-hara akibat amalan perubatan haram dan tidak berlesen serta kekeliruan mengenai skop kerja. Kesannya akan ditanggung oleh orang ramai,” jelas mereka dalam satu kenyataan.