KL berisiko berlaku lagi lubang benam

KL berisiko berlaku lagi lubang benam

Kejadian lubang bernam di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur boleh berulang lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pusat bandar di ibu negara berisiko besar untuk terus berlaku tragedi lubang benam seperti insiden menimpa pelancong wanita India yang terjatuh ke dalam lubang yang tiba-tiba terbentuk di Jalan Masjid India Jumaat lalu.

Insiden tersebut berlaku akibat sistem sokongan bawah tanah tidak stabil dan lemah disebabkan mempunyai saluran paip pembetung yang hanya di­timbun bahan sedimen seperti pasir dan tanah, malah sesete­ngah tempat hanya batu kelikir yang boleh bergerak.

Pakar-pakar geologi berpandangan, jika saluran paip bawah tanah itu bocor akibat aktiviti pembinaan, ia mendorong bahan sedimen dan lapisan permukaan ‘disedut’ ke dalam paip dan mewujudkan satu takungan dalam ta­nah yang diklasifikasi sebagai lubang benam antropogenik.

Lubang benam berlaku apabila air menghakis batuan di bawah permukaan melalui punca antropogenik disebabkan aktiviti manusia dan kejadiannya bukan atas faktor semula jadi.
Pakar Geologi Kejuruteraan dan Geobencana, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Goh Thian Lai berkata, tanah, pasir dan batu kelikir adalah bahan biasa dalam bidang kejuruteraan diguna untuk menanam paip kemudian ditutup dengan tar bahagian atas permukaan.

Menurut beliau, kawasan di sekitar Batu Caves berdepan masalah lubang benam sangat tinggi disebabkan terdapat batu kapur yang merupakan material lembut berwarna putih dan halus di bawah permukaan kawasannya.

Bagaimanapun, kata Thian Lai, dalam kes lubang benam yang berlaku di Jalan Masjid India, ia tiada kaitan dengan fenomena geologi bawah tanah sebaliknya berpunca daripada aktiviti pembinaan yang me­minggirkan kesan terhadap alam sekitar.

“Selain batu kapur yang ada dalam tanah di bawah tanah di kawasan tersebut ialah daripada formasi Kenny Hills seperti phyllite dan quartzite. Tetapi, untuk kes ini (di Jalan Masjid India), bahan di atas paip ialah bahan isian untuk saluran paip pembetung.

“Mereka (kontraktor) akan korek tanah, letak paip dan menutupnya semula dengan pasir, tanah dan tar. Sesetengah juga ditutup dengan batu kelikir dan tar yang mana kesemua bahan ini adalah biasa untuk menanam paip.

“Disebabkan bahan ini, maka saya tidak menolak kemungkinan Kuala Lumpur berisiko untuk berlaku lubang benam untuk kawasan yang berada di atas batu kapur,” kata beliau yang juga Presiden Persatuan Geologi Kejuteraan dan Mekanik Batuan Malaysia.

Jumaat lalu, seorang wanita warga India, Vijayaletchumi, 48, dilaporkan terjatuh dan sehingga semalam masih ‘hilang’ selepas terjatuh ke dalam lubang benam di Jalan Masjid India.

Mengulas lanjut, kata Thian Lai, saluran paip pembetu­ngan berisiko rosak sehingga menyebabkan sedimen seperti tanah dan pasir masuk ke dalam saluran sebelum dibawa aliran air di dalam paip.

“Saluran paip ini mungkin rosak disebabkan usia lama dan aktiviti pembinaan. Paip ini juga dikatakan sudah dibaiki, tetapi rosak semula. Kebetulan pula mungkin paip nipis, maka berisiko pecah dan membawa tanah masuk ke dalam,” katanya.

Menurutnya, situasi itu jarang berlaku dan pihak berkuasa mesti mengambil jalan penyelesaian bagi mengelak kejadian sama berulang dan menimpa orang ramai.

“Pihak berkuasa kena cari saluran paip yang menepati standard dan bertahan lebih lama, namun kosnya sangat mahal. Lihat sahaja rakaman video, nasib wanita itu malang. Untuk masyarakat, kita juga mesti ada kesedaran akan petanda awal yang ada dan mengelaknya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kluster, Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Profesor Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, aktiviti pembinaan dan pembangunan tanpa mengambil kira kesan kepada alam sekitar menjadi punca berlaku lubang benam seperti di Jalan Masjid India.

Beliau berkata, tragedi itu tiada kaitan dengan fenomena geologi bawah tanah, sebaliknya kerana pengurusan prasarana yang lemah.

Ibrahim juga tidak menolak kemungkinan besar tiada pelan pembangunan sistematik dan penyelenggaraan berkala terhadap sistem sokongan di bawah permukaan sehingga menyebabkan bukan sahaja sedimen tetapi termasuk manusia terbenam.

“Pemerhatian saya hanya berdasarkan bukti gambar situasi yang berlaku, saya percaya kejadian ini tiada kaitan dengan fenomena geologi termasuk apa yang dikatakan mengandungi batu kapur.

“Banyak kesilapan manusia semasa pembinaan dilakukan. Ia mungkin berkaitan pengurusan prasarana asas kawasan perbandaran khususnya prasarana bawah tanah. Turapan bata di kawasan lalu lalang bahagian bawahnya kosong, maka sedimen runtuh dan masuk ke dalam saluran paip pembetung,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN