Kilang besi di Kuala Krai gaji PATI diserbu

Kilang besi di Kuala Krai gaji PATI diserbu

JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sebuah kilang besi di Kawasan Perindustrian Staponal, Batu Jong di Kuala Krai dekat sini yang menggaji 114 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 32 wanita di serbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaannya Basri Othman berkata, hasil siasatan mendapati, PATI yang ditahan itu sudah bekerja di kilang milik rakyat tempatan sudah hampir lima bulan.

Menurutnya, dalam serbuan pukul 9.10 pagi itu JIM telah menahan PATI terdiri daripada warganegara China, Bangladesh, Thailand, Pakistan dan Indonesia yang berusia dalam lingkungan 24 hingga 50 tahun.

“Warganegara China antara yang paling ramai ditahan iaitu 70 orang, Bangladesh (28), Myanmar (11), Pakistan(2), Indonesia (2) dan Thailand (1).

“Kesemua mereka yang dipercayai sedang bekerja di kilang itu bertindak bertempiaran lari sebaik sahaja menyedari kehadiran penguat kuasa JIM. Seramai 123 pekerja diperiksa dan 114 daripadanya didapati melakukan pelbagai kesalahan,” katanya pada sidang akhbar Kompleks Imigresen Kelantan, di sini hari ini.

Basri memberitahu, kesemua warga asing itu didapati melakukan kesalahan seperti salah guna pas lawatan, tinggal lebih masa dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, seramai 70 warganegara China melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 56(1)(d), Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 39(b) akta sama.

“Rakyat Bangladesh, Thailand, Pakistan, Myanmar dan Indonesia pula dikenakan tindakan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua PATI yang ditahan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Tanah Merah untuk tindakan lanjut,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN