Khemah rosak dilanda ribut, peniaga alami kerugian RM300,000 - Utusan Malaysia

Khemah rosak dilanda ribut, peniaga alami kerugian RM300,000

KHEMAH para peniaga Festival 4K di Dataran Pontian rosak dilanda ribut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kira-kira 80 buah khemah peniaga makanan yang menyertai Festival Kemerdekaan, Keusahawanan, Kesenian dan Kebudayaan (Festival 4K) di Dataran Pontian rosak akibat dilanda ribut pagi tadi.

Jurucakap penganjur, Jasmin Panot berkata, hujan lebat berterusan berserta ribut sejak  pukul 12 tengah malam hingga 5.30 pagi menyebabkan banyak khemah tumbang, selain diterbangkan angin dan  patah serta peralatan memasak turut  rosak.

Para  peniaga memaklumkan, kejadian itu adalah tiga kali  ribut melanda yang  menyebabkan  banyak kerosakan termasuk di khemah utama dan pentas persembahan.

Festival 4K yang bermula 22 Ogos lalu dianjurkan bersama oleh Pejabat Daerah Pontian dan Persatuan Galeri Seni dan Pelancongan Daerah sempena Sambutan Hari Kemerdekaan.

“Kejadian tersebut  menyebabkan peniaga makanan mengalami kerugiaan kira-kira RM300,000 apabila khemah dan segala peralatan tidak lagi dapat digunakan untuk hari-hari seterusnya. Selain makanan tempatan, turut dijual pelbagai jenis makanan dari Thailand yang turut sama terjejas dan 80 peratus bahan mentah vendor turut rosak,” katanya.

Tular rakaman dalam media sosial hari ini yang memaparkan kejadian  ribut berserta angin yang melanda khemah dan peralatan peniaga di Dataran Pontian menyebabkan suasana menjadi kelam kabut.

 Kejadian ribut itu  menyebabkan para peniaga menangguhkan perniagaan buat sementara dan akan menyambungnya semula pada Jumaat ini.

Sementara itu, Pengerusi Galeri Seni dan Pelancongan Daerah Pontian, Roslan Idris berkata,  banyak lukisan dan hasil seni yang basah dan rosak apabila khemahnya rosak

“Angin kuat telah menjatuhkan dan menerbangkan bahan-bahan pemeran di dalam khemah menyebabkannya  patah, tercalar, bengkok dan rosak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN