Kelantan tumpu selesaikan penggantian paip sejauh 1,050 km

Kelantan tumpu selesaikan penggantian paip sejauh 1,050 km

MOHAMED Fadzli Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Kerajaan Kelantan memberi tumpuan kepada kerja-kerja penggantian paip sejauh 1,050 kilometer (km) yang perlu disegerakan terlebih dahulu berbanding jumlah keseluruhan 4,000 km.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, setakat ini syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) sudah menggantikan paip lama 231 km menerusi pembiayaan daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sebanyak RM218 juta.

“Boleh dikatakan penggantian 100 km paip menelan belanja hampir RM1 juta. Bagaimanapun, kita agak bernasib baik kerana kilang paip HDPE Kel Intaaj Sdn. Bhd. yang dirasmikan bulan lepas sedikit sebanyak membantu mempercepatkan usaha penggantian paip dengan kualiti terjaga dan menjimatkan kos.

“Kita akui kerja-kerja penukaran paip lama ini akan mengambil masa kerana perlu mengambil kira banyak perkara.
Walaupun keputusan menggantikan paip telah lama diambil namun kerajaan negeri terikat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan PAAB,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Loji Rawatan Air (LRA) Jelawat, di sini hari ini.

Mohamed Fadzli memberitahu, sebelum melaksanakan penggantian paip AKSB terlebih dahulu perlu mendapat kelulusan daripada SPAN.

Katanya, selepas itu pelan penggantian paip perlu dibawa kepada PAAB untuk memohon peruntukan.

“Tender projek penukaran paip ini akan dibuat di bawah projek utama dan keseluruhan proses itu sendiri sudah memakan masa agak lama.

“Jarak keseluruhan paip di negeri ini adalah sejauh 8,000 km dan jarak paip yang perlu diganti baharu adalah sejauh 4,000 km,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan berkata, pembinaan LRA Jelawat sangat penting bagi kerajaan negeri dalam usaha menyediakan bekalan air terawat secukupnya kepada penduduk sekitar Jelawat dan kampung-kampung terlibat.

“Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5.9 juta bagi pembinaan LRA Jelawat dan kita harap ia dapat beroperasi dengan baik dalam membekalkan air berkualiti serta memenuhi keperluan pengguna.

“Loji berkapasiti empat juta liter sehari ini dapat memberikan kemudahan bekalan air terawat kepada kira-kira 1,500 akaun pengguna di kawasan sekitar Bachok seperti di Gunong, Pekan Jelawat, Bandar Baharu Jelawat, Alor Bakat dan Mahligai,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN