Kami sudah cuba segala-galanya - Azzmi - Utusan Malaysia

Kami sudah cuba segala-galanya – Azzmi

AZZMI Ab. Aziz pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan Liga Super di antara NSFC dan PDRM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Enam kekalahan daripada tujuh perlawanan yang diharungi dalam saingan Liga Super bukanlah keputusan yang diharapkan oleh ketua jurulatih pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC), Azzmi Ab. Aziz.

Bahkan beliau berkata, keputusan itu juga bukanlah yang dimahukan oleh para pemain malah peminat sedangkan pasukan telah mencuba hampir segala-galanya.

Namun keputusan perlawanan yang memihak pasukan Hobin Jang Hobin itu masih gagal diperoleh.

“Kami telah cuba sama ada taktikal atau pemain. Kami cuba letakkan pemain import dan pemain senior di bangku simpanan,ia tidak mudah walaupun para pemain bersikap positif dengan apa yang dirancang dan sampaikan.

“Banyak yang telah meningkat, banyak pencapaian yang baik tetapi ia masih belum cukup untuk memberi kesan seperti yang kita semua harapkan,” katanya kepada para pemberita selepas tamat perlawanan malam tadi.

Dalam perlawanan itu, PDRM FC mengatasi NSFC dengan jaringan 2-1. 

Gol NSFC telah dijaringkan oleh R. Barathkumar pada minit ke-45 sebelum Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi menyamakan kedudukan pada minit ke-54.

Kemenangan PDRM FC disempurnakan oleh Bruno Junichi Suzuki dengan gol pada minit ke-57. 

Berdasarkan situasi semasa, Azzmi mengakui mengharapkan jendela perpindahan pemain tidak lama lagi bagi digunakan untuk meningkatkan keupayaan pasukan dengan menarik beberapa pemain baharu terutamanya di bahagian tengah dan serangan.

“Terpulang kepada pengurusan untuk membuat keputusan kerana sukar untuk mencapai keputusan yang diharapkan dengan hanya bergantung kepada pemain yang sedia ada,” ujarnya.

Sementara itu, bagi ketua jurulatih PDRM FC, P. Maniam, kemenangan ke atas NSFC itu pula adalah kesinambungan daripada kejayaan pasukan itu mengekang rekod menang JDT dengan keputusan seri 1-1 pada 31 Julai lalu.

“Saya mahu beri pujian kepada semua pemain terutamanya Muhammad Shahrel Fikri yang menjaringkan gol pertama.

“Walaupun ketinggalan pada separuh masa pertama, PDRM FC telah bangkit pada separuh masa kedua hingga mencapai kemenangan,” katanya.   

Maniam dalam pada itu memberitahu, tiada keperluan untuk menukar barisan pemain sedia ada dan beliau belum ada perbincangan dengan pengurusan pasukan mengenai jendela perpindahan pemain tersebut.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya