PETALING JAYA: Laluan 12 di Lebuhraya Tun Razak kini dalam proses naik taraf dan berada dalam fasa 2.
Jabatan Kerja Raya dalam kenyataan memaklumkan, fasa yang melibatkan jajaran sepanjang 51 kilometer (km) dari Runchang ke Simpang Keratong itu kini di peringkat kerja awalan.
Katanya, kerja-kerja yang giat dilaksanakan itu merangkumi kerja ukur tanah, siasatan tanah dan kajian trafik.
“Fasa 2 melibatkan jajaran sepanjang 51km dari Runchang ke Simpang Keratong.
“Ia telah lulus Rolling Plan Ke-3 (RP3) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan kini di peringkat kerja awalan melibatkan kerja ukur tanah, siasatan tanah dan kajian trafik,” katanya.
Pada 18 Ogos lalu, akhbar ini melaporkan Lebuhraya Kuantan-Segamat atau Lebuhraya Tun Razak yang didakwa ‘hancur’ kerana banyak masalah sehingga kerap berlaku kemalangan terutama membabitkan pemandu luar.
Menurut laporan itu, pengguna terutamanya yang berulang-alik di laluan sepanjang 146.8 kilometer itu merungut dan mempersoalkan bentuk fizikal lebuh raya tersebut yang sangat daif dan sama taraf jalan kampung.
Tambah kenyataan itu, jambatan baharu juga akan dibina di kawasan yang terjejas akibat limpahan air di Sungai Temiang terutama ketika musim hujan.
Katanya, JKR dalam proses perolehan bagi pelaksanaan projek itu.
“Satu jambatan baharu akan dibina di kawasan berkenaan bagi menggantikan jalan yang telah terputus akibat mendapan.
“Sehingga kini, penggunaan jambatan bailey masih diteruskan dan akan digunakan sebagai laluan alternatif bagi pengguna laluan tersebut,” katanya.