MACHANG: Selepas berpisah dengan anak tunggal selama lapan bulan akibat penyalahgunaan dadah, seorang prospek di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang di sini, tekad untuk ‘merdeka’ daripada bahan telarang itu termasuk pengedaran.
Menurut lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Jie, 48, meskipun sudah dua kali dia dijel, namun ini adalah kali pertama dia dipenjara dalam tempoh yang lama termasuk tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha bersama anak.
Katanya, selepas dipilih menyertai Program Pelepasan Orang Bebas Berlesan (OBB) sempena Hari Kebangsaan 2024 Ihsan Madani, ia membuka lembaran baharu buat dirinya untuk berubah ke arah kehidupan yang lebih baik.
“Saya bertekad untuk tidak lagi mengulangi kesilapan sama kerana sesiapa sahaja yang terjebak dengan dadah pasti tertangkap sama ada cepat atau lambat.
“Saya juga mengakui agak tersentuh setiap kali dimaklumkan oleh ibu bahawa anak saya sering bertanya di mana keberadaan saya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Pelepasan OBB sempena Hari Kebangsaan 2024 Ihsan Madani di PPA Machang, di sini semalam.
Berkongsi kisahnya, Jie memberitahu, dia terjebak dengan dadah sejak 1998 sebelum dia mula mengedar dadah demi mengejar kemewahan meskipun ketika itu sudah bekerja tetap sebagai konsultan.
Katanya, dia mampu memperoleh pendapatan sehingga RM10,000 hasil menjual dadah dalam tempoh seminggu berbanding pendapatan bulanannya sebanyak RM6,500 di sebuah syarikat di Nilai, Negeri Sembilan.
“Sepanjang terlibat dengan dadah, saya sudah beberapa kali ditangkap dan dikenakan denda selepas didapati bersalah, namun tidak pernah serik.
“Saya sekali lagi ditangkap pada 21 Mei lalu selepas polis menyerbu rumah dan menemui dadah jenis heroin,” ujarnya.
Jie berkata, dia akan dibebaskan pada 21 Disember depan dan tidak sabar berjumpa dengan anak perempuan berusia 10 tahun yang kini tinggal bersama bekas isteri di Melaka selepas bercerai pada 2019.
Katanya, menerusi Program Pelepasan OBB, dia akan bekerja di sebuah syarikat besi di Bachok sementara menunggu tarikh dibebaskan.
Sementara itu, Pengarah Koreksional Machang, Penolong Kanan Komisioner (PKK) Mohd. Nasir Yusof, berkata, seramai 14 prospek PPA Machang diberi pelepasan OBB sempena Hari Kebangsaan 2024 Ihsan Madani.
“Kesemua yang menyertai Program Pelepasan OBB menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah berusia dalam lingkungan 24 hingga 50 tahun,” ujarnya.