Jenazah penyelam TLDM dituntut isteri, diterbangkan ke Lahad Datu - Utusan Malaysia

Jenazah penyelam TLDM dituntut isteri, diterbangkan ke Lahad Datu

VAN yang membawa jenazah Allahyarham Arman San Hermansa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik HSI, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jenazah Laskar Kelas (LK) I PLM, Arman San Hermansa, 28, yang maut ketika operasi menyelamat kapal KD Pendekar, semalam telah dituntut isterinya, Norazliana Bakri, 25.

Van jenazah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang membawa jenazah dilihat meninggalkan pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) pada pukul 12.50 tengah hari.

Keranda jenazah dibawa memasuki van  dengan diangkat Pasukan Pengusung Jenazah TLDM.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) sebelum diterbangkan ke Lapangan Terbang Tawau menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum dikebumikan di kampung halamannya di Lahad Datu, Sabah.

Terdahulu, kira-kira 100 waris, pegawai dan anggota TLDM serta rakan-rakan berkumpul di Jabatan Perubatan Forensik HSI itu seawal pukul 8 pagi tadi.

Semalam, Arman San yang berkhidmat sebagai Penyelam Ranjau dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) dilaporkan hilang di dasar laut sebelum ditemukan maut ketika melakukan operasi selaman KD Pendekar yang karam di perairan Tanjung Penyusop, Kota Tinggi. 

KD Pendekar yang telah beroperasi selama 21 tahun itu tenggelam kira-kira pukul 12 tengah hari, Ahad lalu di perairan Tanjung Penyusop selepas mengalami kebocoran dipercayai akibat terlanggar objek bawah air. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN