Jenazah bekas Mufti Negeri Sembilan selamat dikebumikan

Jenazah bekas Mufti Negeri Sembilan selamat dikebumikan

JENAZAH Allahyarham Datuk Mohd. Yusof Ahmad, yang telah disembahyangkan di Masjid Negeri, Seremban dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Makam Haji Mohd. Said, Sikamat, Seremban untuk dikebumikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jenazah bekas Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Allahyarham Datuk Mohd. Yusof Ahmad, 79, yang meninggal dunia malam semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Haji Mohd. Said, Sikamat di sini kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham yang meninggal dunia akibat komplikasi penyakit barah hati itu telah disembahyangkan di Masjid Negeri, Seremban di sini yang diimamkan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Faudzinaim Badarudin.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir turut berkenan menyertai solat jenazah tersebut.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Taman Marida, Senawang di sini kira-kira pukul 7.43 malam semalam.

Menantu kepada Allahyarham, Danial Farhan Dolmat memberitahu, bapa mentuanya itu meninggal dunia dalam keadaan koma selepas dibawa dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras, Kuala Lumpur, petang semalam.

Katanya, Allahyarham telah disahkan menghidap barah hati sejak lebih sebulan lalu.

Dilahirkan pada 7 Februari 1945 di Air Mawang, Johol, Kuala Pilah, Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Pahariah Jamaludin dan enam cahaya mata yang terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan bersama 20 orang cucu.

Arwah yang juga merupakan bekas guru merupakan Mufti Negeri Sembilan keempat yang dilantik pada tahun 2009 dan bersara pada 2023.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya