GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan ihsan membawa Orang Asli yang merupakan pesakit mental untuk rawatan di Hospital Gua Musang di sini semalam.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM, Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Rizzan Jefri, berkata, pesakit mental itu yang berkelakuan agresif telah diiringi dua anggota polis untuk dibawa menaiki helikopter.
Menurutnya, semua pesakit dan pengiring dibawa menggunakan pesawat jenis Mi-17-IV.
“Pesakit mental terpaksa diberikan ubat penenang dan diperiksa tahap kesihatan sebelum dibawa menaiki pesawat.
“Kita berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang pada pukul 9.58 pagi,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mohd. Rizzan memberitahu, pada masa sama pihaknya melakukan satu lagi penerbangan bagi pesakit kanak-kanak Orang Asli yang demam panas sejak seminggu lalu.
Katanya, kanak-kanak itu merupakan penduduk di Kampung Tendrik, Pos Bihai.
“Kedua-dua pesakit selemat tiba dan diserahkan kepada anggota kesihatan sebelum dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan susulan.
“Alhamdulillah pesawat dan kru selamat mendarat di Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor pada pukul 5.15 petang,” ujarnya.-UTUSAN