KUALA LUMPUR : Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman adalah peneraju utama yang berperanan memberi jaminan keselamatan dan ketenteraman negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, jabatan ini pemilik tunggal entiti pasukan khas yang mengawal selia setiap sudut perincian sempadan negara.
Kata beliau, menerusi jabatan ini terdapat beberapa elemen iaitu Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Khas (PGK), Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Wildlife Crime Bureau/ Perisikan Siasatan Khas (WCB/ PSK).
“Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) (Gerakan), Datuk Mohd Yusoff Mamat dilantik memangku Pengarah JKDNKA susulan persaraan Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din hari ini.
“Kewibawaan dan ketegasan beliau (Mohd Kamarudin) dalam menerajui jabatan ini berjaya memastikan PDRM dapat memenuhi teras dan strategi keselamatan sebagaimana ketetapan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA),” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Perkep di Pulapol, di sini hari ini.
Razarudin menyifatkan persaraan Mohd Kamarudin umpama hilangnya sebutir permata berharga dan suatu kehilangan besar kepada PDRM.
“Saya mewakili sekalian warga Sang Saka Biru mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih atas segala jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan selama lebih 36 tahun bersama pasukan keramat ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Razarudin juga merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Mohd Yusoff di atas pelantikan sebagai pemangku Pengarah JKDNKA dan Datin Hasnizan Hasan, sebagai pemangku Pengerusi Perkep jabatan itu.
“Diharapkan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sempurna dan cemerlang,” katanya.
Mohd Kamarudin mula menyertai Pasukan Sang Saka Biru pada 5 Jun 1988 sebagai Kadet Asisten Superintendan (ASP) dan seterusnya memulakan penugasan sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Kelantan pada Mac 1990.