KUANTAN: Istana Pahang membuat laporan polis terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang, Kelantan.
Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah berkata, laporan itu dibuat selepas menonton rakaman video menerusi aplikasi YouTube dimuat naik oleh seorang pemilik akuan ketika berada di Istana Abdulaziz, Jumaat lalu.
Katanya, menerusi video terbabit, Muhyiddin menyebut Yang di-Pertuan Agong dahulu iaitu dari Pahang tidak menjemputnya ke Istana Negara bagi mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri walaupun beliau mendakwa sudah mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen.
“Dalam petikan ceramah tersebut juga, beliau (Muhyiddin) seolah-olah menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16 gagal untuk menghormati Perlembagaan Persekutuan kerana tidak melantiknya sebagai Perdana Menteri.
“Kenyataan tersebut adalah bersifat sinis, memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16 iaitu Sultan Pahang seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri, sedangkan jelas baginda membuat pelantikan Perdana Menteri dengan sangat teliti mengikut Perlembagaan Persekutuan.
“Kenyataan dikeluarkan itu sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan kepada institusi Raja-raja Melayu dan memecahbelahkan rakyat. Ia juga bersifat fitnah dan menghasut selain menyentuh isu 3R (Kaum, Agama, Institusi Diraja).
“Kenyataan itu jelas menjejaskan nama baik Sultan Pahang. Disebabkan itu saya tampil membuat laporan bagi membolehkan tindakan adil, tegas dan tanpa kompromi dikenakan terhadap Muhyiddin,” katanya dalam laporan polisnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini.
Sebelum ini, tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika berkempen pada PRK DUN Nenggiri.
Sabtu lalu, Pemuda dan Puteri UMNO Pekan membuat laporan polis terhadap bekas perdana menteri itu kerana menyentuh isu 3R ketika berkempen bagi PRK DUN Nenggiri.
Laporan polis dibuat oleh Pengerusi Biro Putera Pergerakan Pemuda UMNO Pekan, Muhamed Haekal Mohamed Nasrudin dan Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Pekan, Nur Hidayah Abd Rahim.
Pada Ahad, UMNO Bahagian Pekan diketuai Ketuanya, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff membuat laporan polis terhadap Muhyiddin bagi membolehkan tindakan mengikut undang-undang dikenakan terhadapnya.
Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Menteri Besar menzahirkan rasa kecewa serta terkilan dengan kenyataan Muhyiddin dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu. – UTUSAN