Impian badang Perlis beraksi di Olimpik - Utusan Malaysia

Impian badang Perlis beraksi di Olimpik

MESKIPUN hanya berlatih di pusat latihan di dalam sebuah bilik darjah di SMK Syed Sirajuddin, namun Muhammad Hafizuddin Roslin,20, berjaya mencetuskan sensasi memecahkan sebanyak lapan kali rekod kebangsaan acara angkat berat kategori 81 kilogram pada temasya Sukma Sarawak baru-baru ini.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Badang Perlis, Muhammad Hafizuddin Roslin, 20, yang mencetus sensasi memecahkan rekod kebangsaan sebanyak lapan kali dalam acara angkat berat kategori 81 kilogram pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak baru-baru ini mengimpikan untuk beraksi dalam sukan Olimpik pada masa hadapan.

Dia yang sudah bersedia menerima pelawaan untuk menyertai skuad kebangsaan berkata, sebelum mencapai impian itu, anak kedua daripada lima beradik itu bertekad membuktikan kemampuan di Sukan SEA 2025 dan Komanwel 2026 terlebih dahulu.

Katanya yang berasal dari Kampung Belukar, Abi, dia mula terlibat dalam angkat berat seawal usia 13 tahun pada 2017 selepas diajak menyertai sukan tersebut oleh jurulatih di pusat latihan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin, Mohd. Hanie Musa.

Ujarnya, sejak daripada itu, dia giat menjalani latihan dan dalam masa sama turut membantu keluarga di sebuah kedai makan di Arau.

“Setiap petang, saya menjalani latihan sehingga menjelang Sukma sebelum ini, saya mempergiatkan lagi latihan siang dan malam. Saya berazam untuk merangkul pingat emas pada Sukma Sarawak baru-baru ini selepas hanya berpuas hati dengan pingat perak pada Sukma Kuala Lumpur pada 2022.

“Alhamdulilah, saya berjaya merangkul emas sekali gus turut memecahkan sebanyak lapan kali rekod kebangsaan. Sebelum menyertai Sukma Sarawak, saya dan jurulatih telah mensasar tiga perkara iaitu pingat emas, pecah rekod dan menjadi olahragawan.

“Alhamdulilah saya berjaya mencapai dua daripada tiga perkara itu. Jika dipanggil skuad kebangsaan, saya ingin fokus pada sukan SEA 2025 dan Komanwel 2026 sebelum ingin merealisasikan impian untuk ke Olimpik,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam temasya Sukma Sarawak baru-baru ini, Muhammad Hafizuddin bagai tiada tandingan apabila memecah rekod kebangsaan sebanyak lapan kali dalam acara angkat berat kategori 81 kilogram lelaki untuk merangkul pingat emas.

Muhammad Hafizuddin melakukan angkatan snatch 141 kilogram untuk memadam rekod kebangsaan milik Nasir Roslan, 140 kilogram yang dilakukannya pada Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan 2021.

Pada angkatan keduanya, Muhammad Hafizuddin sekali lagi memecah rekod kebangsaan selepas mengangkat 146 kilogram sebelum sekali lagi memadamnya pada angkatan ketiga dengan 151 kilogram.

Muhammad Hafizuddin melakukan angkatan pertama clean and jerk 165 kilogram sekali gus memecah rekod kebangsaan angkatan keseluruhan 316 kilogram untuk memadam rekod lama dipegang Nasir 315 kilogram.

Rentak cemerlang Muhammad Hafizuddin tidak boleh disekat lagi apabila memecah rekod kebangsaan clean and jerk pada angkatan kedua dengan 176 kilogram sebelum memperbaharui rekod sendiri dengan angkatan 181 kilogram menjadikan keseluruhan angkatan 332 kilogram untuk muncul di tangga podium utama.

Tambah Muhammad Hafizuddin, jurulatih Hanie banyak membantu sejak dia berusia 13 tahun lagi sehingga mencapai kejayaan hari ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN