Hujan tidak halang orang ramai raikan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Hujan tidak halang orang ramai raikan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan

PERARAKAN kayuhan basikal klasik antara yang menarik perhatian ribuan hadirin pada Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Seremban pagi tadi.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Cuaca hujan di awal pagi tidak menghalang orang ramai hadir meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini pagi tadi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sambutan kali ini lebih meriah berbanding tahun lalu dengan beliau menganggarkan kehadiran tahun ini melebihi 20,000 orang.

“Saya kagum dan gembira dengan kehadiran orang ramai, mereka bukan datang hanya mahu melihat tetapi turut sama meraikan sambutan tahun ini.

“Memang menggalakkan, bukan hanya hari ini tetapi juga beberapa hari sebelum ini, ia menunjukkan rakyat memahami apa yang berlaku dalam negara sejak akhir-akhir ini dimana keadaan cukup baik, ekonomi baik, ringgit yang semakin kukuh, saya harap keadaan ini akan berterusan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu turut menyambut keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir serta Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud yang  mencemar duli berangkat pada majlis sambutan tersebut.

Sambutan dimulakan dengan Istiadat Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Kelima Belas Rejimen Askar Melayu Diraja yang turut diiringi oleh Pancaragam Gabungan Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja  (MEKENIZA) dan Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja.

Selepas pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Tuanku Muhriz, sambutan diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang dengan iringan Lagu Negaraku disusuli bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Prof. Madya Datuk Dr. Faudzinaim Badaruddin seterusnya bacaan ikrar Rukun Negara yang diketuai oleh Menteri Besar.

AMINUDDIN Harun mengetuai bacaan ikrar Rukun Negara pada Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Seremban pagi tadi.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Ia diikuti acara yang dinanti-nantikan iaitu persembahan kebudayaan dan keseniaan serta seni bela diri seterusnya acara perbarisan 80 kontinjen yang merangkumi 5,000 peserta terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pentadbiran daerah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah, institut pengajian tinggi serta syarikat swasta.

Menggamatkan acara sambutan pada setiap tahun adalah perarakan aset yang terdiri daripada aset Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta beberapa aset jabatan dan agensi kerajaan yang lain. 

 Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Sembilan kemudian diakhiri dengan persembahan khas yang melibatkan artis, Farhan Azizan dan Suki Low serta kumpulan kebudayaan yang diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS).-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN