SEREMBAN: Orang ramai kini boleh menyaksikan Jalur Gemilang terbesar di negeri ini yang dipasang oleh hospital swasta, Hospital Pakar KPJ Seremban di sini.
Bendera yang berukuran 51 meter x 16 meter itu dipasang pada bangunan hospital swasta itu yang menghadap Jalan Sungai Ujong.
Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Seremban, Nor Aidil Ikram Muhamad berkata, Jalur Gemilang itu yang mempunyai berat keseluruhan 200 kilogram telah dipasang sepenuhnya mulai kelmarin dan akan kekal sehingga 30 September ini.
Katanya, matlamat utama projek itu adalah untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan kakitangan hospital dan masyarakat setempat.
“Bendera gergasi ini bukan sahaja melambangkan identiti dan semangat kebangsaan tetapi mencerminkan dedikasi kami dalam menyemai rasa cinta dan kebanggaan terhadap negara.
“Bendera yang kini megah berdiri di kawasan hospital ini diharap dapat memberi inspirasi dan menguatkan semangat patriotisme dalam kalangan semua yang melihatnya,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, paparan Jalur Gemilang itu juga adalah simbol sokongan kumpulan perubatan itu terhadap inisiatif yang mampu memajukan negara dan memberi manfaat kepada masyarakat.-UTUSAN.