Hias halaman rumah sambut Hari Kebangsaan - Utusan Malaysia

Hias halaman rumah sambut Hari Kebangsaan

AMIRUDDIN Aman menunjukkan hiasan bertemakan kemerdekaan yang dihasilkannya menggunakan barangan terpakai Ketika ditemui pemberita di Taman Matahari Indah, Senawang, Seremban, semalam.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Demi menunjukkan semangat patriotik dan cintakan tanah air, seorang penduduk di Taman Matahari Indah, Senawang di sini mengambil inisiatif menghias kawasan halaman rumahnya dengan konsep kemerdekaan.

Dibantu ahli keluarga termasuk enam orang anaknya, Amiruddin Aman, 54, memberitahu, mereka hanya menggunakan barangan yang sedia ada di rumah serta barangan terpakai untuk menghasilkan hiasan bertemakan Transformasi Merdeka itu.

“Kebetulan di tepi rumah saya ada sedikit ruang, jadi saya ambil peluang menghiasinya hasil pelbagai idea dan kreativiti. Kebanyakan saya gunakan barang terpakai seperti tayar, botol, kayu, tong air, kuali dan setiap satu yang ditampilkan ada konsepnya tersendiri.

“Saya tampilkan replika perigi dengan lampu gasolin lama, kemudian ada replika lambang tanjak dan kerusi istana. Disusuli pula dengan replika bangunan Menara Berkembar Petronas dan replika bunga raya seterusnya replika karakter Transformers yang membawa maksud teknologi masa kini.

“Turut kami tampilka, replika kerusi istana membawa maksud rakyat hidup sejahtera di bawah lindungan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara Malaysia dan bunga raya sebagai bunga kebangsaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Dia memberitahu kesemua idea hiasan replika itu datang secara spontan sahaja dan melibatkan kos perbelanjaan yang sangat minimum iaitu sekitar RM200 sahaja.

Selain itu, Amiruddin memberitahu, dia menghias rumahnya termasuk dengan puluhan Jalur Gemilang itu turut dengan tujuan untuk menyertai Pertandingan Rumah dan Lorong Tercantik Sempena Bulan Kemerdekaan yang buat pertama kalinya dianjurkan di kawasan taman perumahan itu.

“Sebenarnya, bukanlah kemenangan yang dicari tetapi demi menyemarakkan semangat kemerdekaan. Seronok apabila dapat lakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Selain mengeratkan hubungan keluarga, ini juga mengeratkan hubungan di antara jiran tetangga,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Matahari Indah, Taman Senawang Indah 2 dan Taman Mayang Sari yang menganjurkan pertandingan itu, Mohd. Faizul Kamaruzaman memberitahu, sebanyak 22 buah rumah dan lima buah lorong telah mengambil bahagian.

“Inisiatif penganjuran pertandingan yang bermula pada 1 Ogos lalu itu juga mendapat sokongan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

“Penyertaaan yang diterima daripada penduduk sangat menggalakkan, nampak semangat serta kerjasama di antara mereka untuk menyemarakkan kemerdekaan, itulah objektif utama pertandingan ini dianjurkan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya