KANGAR: Buat julung kalinya, Great British Circus bakal membuat persembahan di negeri ini dalam menarik kehadiran pelancong bagi merancakkan penganjuran Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
Persembahan sarkis berkenaan bakal dilaksanakan di Dataran Kangar Jaya bermula dari 28 September sehingga 20 Oktober depan.
Menerusi penganjuran itu, terdapat beberapa persembahan hiburan keluarga akan disajikan buat pengunjung selama dua jam malah mereka juga berpeluang menyaksikan aksi stunt, komedi, akrobatik, tarian dan pelbagai lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, penganjuran itu dilihat mampu menjadi daya penarik bukan sahaja buat pelancong tempatan namun termasuk dari negara jiran Thailand untuk berkunjung ke Perlis.
“Dengan penganjuran ini, kita harapkan dapat menarik pengunjung dari Kedah, Pulau Pinang dan kawasan Selatan Thailand untuk sama-sama merasai pengalaman menyaksikan persembahan sarkis ini,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Hadir sama pada sidang media tersebut adalah Pengasas Big Kid Entertainment (M) Sdn Bhd, Kiril Kirilov yang juga merupakan pemilik Great British Circus.
Mengulas lanjut, Wan Badariah berkata, kerajaan negeri tidak terlalu mengawal ketat aspek hiburan di Perlis namun pihak penganjur perlu mengambil tanggungjawab bagi mematuhi peraturan ditetapkan.
“Kita harap mereka dapat mematuhi dari segi pakaian yang bersesuaian supaya anak-anak dan ahli keluarga dapat berhibur dengan selesa menyaksikan persembahan berkenaan,”katanya.
Dalam pada itu, Kiril berkata, persembahan sarkis itu akan dilakukan oleh artis-artis antarabangsa dari lebih 10 buah negara malah penganjurannya juga tidak melibatkan sebarang haiwan.
Katanya, pihaknya juga berharap penganjuran itu dapat membantu dalam merancakkan lagi TMPs khususnya bagi menarik pelancong dari Thailand ke negeri ini.
“Terima kasih juga buat kerajaan negeri termasuk Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MYUS Venture Partners Sdn Bhd yang membantu dalam merealisasikan penganjuran sarkis ini,” katanya.-UTUSAN