Gagal potong kenderaan, lelaki maut motosikal bertembung dengan bas

Gagal potong kenderaan, lelaki maut motosikal bertembung dengan bas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya gagal memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan sebuah bas express di Kilometer 95 Jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran Kampung Manjor, di sini malam tadi.

Dalam kejadian itu mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C100 meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berkait kemalangan itu pada pukul 12.10 tengah malam.

“Hasil siasatan awal mendapati bas tersebut dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur. Mangsa pula dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

“Setiba di lokasi, mangsa dikatakan telah cuba memotong kenderaan dihadapannya. Pemandu bas yang berada laluannya telah cuba mengelak, namun gagal akibat jarak yang terlalu dekat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mazlan memberitahu, pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal itu mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk rawatan lanjut.

Katanya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di wad zon merah.

Ujarnya, kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan terperinci akan dijalankan oleh pihak polis. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk tampil menyalurkan maklumat ke Balai Polis Trafik Kuala Krai,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN