Futsal perpaduan satukan semua parti politik sempena kemerdekaan - Utusan Malaysia

Futsal perpaduan satukan semua parti politik sempena kemerdekaan

BARISAN pemuda daripada parti-parti politik di negeri ini mengenepikan fahaman politik dengan berkumpul bersama menyertai Futsal Perpaduan 2.0 bersempena sambutan kemerdekaan di Arena Futsal UTC, Kangar, Perlis semalam. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Anak-anak muda dari semua parti politik di negeri ini menunjukkan pendekatan politik matang mengenepikan perbezaan politik dengan berkumpul bersama menyertai Futsal Perpaduan 2.0 bersempena kemerdekaan di Arena Futsal UTC, di sini, semalam.

Program anjuran Persatuan Wartawan Perlis (PWP) yang menjadi penghubung kepada penyatuan melalui aktiviti sukan berkenaan disertai oleh Pemuda UMNO negeri, Pemuda Pas negeri, Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Pemuda Amanah negeri dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri.

Ketua Pemuda Pas negeri, Haziq Asyraf Dun berkata, meskipun berbeza ideologi politik, namun sayap pemuda parti-parti di negeri ini mengamalkan sikap matang dan mementingkan semangat perpaduan khususnya bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan ini.

“Bila sebut tentang perpaduan, kita boleh duduk sekali demi kepentingan agama, bangsa dan negara malah inilah politik baharu dibawa oleh anak muda di Perlis,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Saiful Fariddil Jasmi berkata, sukan dilihat menjadi platform terbaik dalam menyatupadukan barisan pemuda di negeri ini yang bernaung di bawah parti politik masing-masing.

“Walaupun berbeza parti, seeloknya kita dapat duduk sekali di Perlis bagi menjalinkan ukhwah dan mengeratkan silaturahim antara satu sama lain,” katanya.

Ketua AMK negeri, Ahmad Azzin Izzad Bahanuddin pula berkata, program penyatuan seperti itu dilihat boleh dikembangkan lagi pada masa hadapan melibatkan aktiviti ilmiah lain dalam membantu memantapkan barisan pemuda di negeri ini.

“Ini adalah satu pendekatan yang baik dalam membawa politik matang dalam kalangan anak-anak muda di Perlis khususnya dalam membina perpaduan antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah negeri, Dr. Ahmad Fadzhil Mohamad berkata, parti-parti sayap pemuda di negeri ini cuba membina muafakat dan kerjasama dengan bersatu-padu bagi membentuk perpaduan kukuh bersempena sambutan kemerdekaan ini.

“Kita lihat bahawa apabila dapat bersatu dalam sukan maka elemen-elemen kepartian dan kebencian dapat diketepikan bagi membina satu perasaan kasih sayang antara pemuda di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Armada Bersatu negeri, Abdul Latif Abu Hassan berkata, penganjuran program berkenaan menunjukkan barisan pemuda di negeri dapat duduk bersama-sama walaupun berlainan ideologi politik dalam mengeratkan perpaduan antara satu sama lain.

“Ini merupakan pendekatan politik baharu dibawa oleh barisan pemuda di Perlis yang tidak mahukan perpecahan dan dapat duduk bersama-sama demi kebaikan rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Dalam pada itu, juara bagi kejohanan tersebut diungguli oleh AMK selepas menewaskan Pemuda Amanah negeri menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas kedudukan terikat 2-2 dalam aksi sebenar perlawanan akhir itu.

Manakala Pemuda UMNO negeri bersama Armada Bersatu negeri masing-masing berkongsi tempat ketiga dan Pemuda Pas negeri pula meraih tempat keempat dengan PWP pula berpuas hati di tempat kelima.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya