TENOM: Pengadu yang juga saksi kesembilan memberitahu, dia terus menutup panggilan video dibuat pendakwah terkenal, Ebit Lew kepadanya dalam keadaan berbogel.
Kata saksi itu, panggilan video itu dilakukan pada Mac 2021 dan itu adalah kali pertama panggilan video diterimanya daripada tertuduh.
“Itu panggilan video yang pertama semasa saya berada di tempat kerja. Masa itu saya betul-betul terkejut kerana dia beritahu dia berada di Dubai. Dalam panggilan video itu, dia dalam keadaan bogel dan saya terus tutup (panggilan),” katanya pengadu semasa sesi pemeriksaan balas di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Selepas Mac, pengadu memberitahu, Ebit masih meneruskan panggilan video bersamanya tetapi hanya mentunjukkan muka tidak lagi berbogel.
Kata pengadu, sepanjang Mac, Ebit memang kerap menghubunginya dan menghantar pesanan menerusi WhatsApp pada waktu malam.
“Saya pernah beritahu dia bahawa saya tidur awal tapi Ebit tetap hantar WhatsApp pada waktu malam. Selepas itu, saya jadi takut dia WhatsApp waktu malam,” katanya.
Pengadu memberi keterangan tersebut bagi menolak pertanyaan peguam bela, Datuk Ram Singh yang mengandaikan mesej ‘bila nak buat’ bermakna pengadu ingin buat hubungan intim dengan Ebit
“Kalau saya perlu seks daripada Ebit, sudah lama saya ikut cakap Ebit. Dia tawarkan saya tiket (penerbangan) untuk pergi jumpanya. Tapi, saya tidak buat, saya tidak ikut,” kata pengadu.
Katanya, dia hanya membalas mesej Ebit apabila tertuduh mencadangkan agar suaminya mengadakan hubungan intim dengan isteri Ebit.
Mengulas lanjut, kata saksi itu, dia membuat keputusan membuat laporan di Bukit Aman pada 7 Ogos 2021 selepas dia berasa Ebit seolah-olah tidak lagi menghormati permintaannya.
“Selepas Ebit meminta maaf pada April saya terima. Tapi apabila Ebit tidak berhenti pada Mei, Jun dan pada awal Julai, dia seolah-olah tidak menghormati permintaan saya dan tetap juga tulis perkataan lucah dan telefon.
“Tindakan Ebit itu menyebabkan saya tukar nama Facebook dan Instagram daripada nama asal saya kepada nama lain sebab takut dia ganggu lagi. Saya tidak mahu lagi ikut arahan dia sebab itu saya ambil keputusan untuk buat laporan polis,” katanya.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew,38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Bagi kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.
Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin manakala, Ebit diwakili peguam Ram, Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Prem Elmer Ganasan. – UTUSAN