Dua sindiket seludup kenderaan mewah bernilai RM27.5j tumpas

Dua sindiket seludup 217 kenderaan mewah bernilai RM27.5 juta tumpas

NORLELA Ismail (dua, kiri) menunjukkan pokok hidup dirampas Jabatan Kastam dalam sidang akhbar di Pelabuhan Klang, Klang, semalam. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan dua sindiket penyeludupan kenderaan mewah dengan rampasan bernilai RM27.45 juta di Pelabuhan Utara di sini, Jun lalu.

Kesemua 217 kenderaan pelbagai jenama termasuk kenderaan elektrik (EV) itu dirampas JKDM Zon Tengah Unit II (Selangor) dirampas dalam 84 kontena menerusi dua operasi berasingan.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, perkara itu dikesan pihaknya selepas menjalankan pemeriksaan rapi di Zon Bebas pelabuhan berkenaan pada 25 dan 27 Jun lalu.

Menurutnya, rampasan pertama melibatkan penahanan 67 kontena yang membawa 200 kenderaan dengan nilai cukai berjumlah RM22.6 juta.

“Operasi kedua pula berjaya menahan 17 kontena yang mengandungi muatan 31 kenderaan bernilai RM4.7 juta. Kenderaan yang dirampas itu antaranya Mini Cooper, Toyota Alphard dan model kenderaan EV,” katanya pada sidang akhbar, semalam.

Norlela memberitahu, siasatan awal mendapati pengimportan dagangan itu tiada permit import daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Kita percaya semua kenderaan itu bagi pasaran tempatan namun kedua-dua kes melibatkan sindiket berbeza. Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk merekodkan keterangan pihak pengimport tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan.

Dalam pada itu, JKDM turut mematahkan cubaan menyeludup 6,500 pokok hiasan hidup termasuk bonsai bernilai RM325,000 dari China di Zon Bebas Pelabuhan Utara di sini, 6 Jun lalu.

Norlela berkata, semakan pihaknya mendapati semua pokok hidup itu yang diikrar sebagai pokok plastic, tiada permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Selain itu, katanya, JKDM turut merampas ratusan pil kuda yang cuba diseludup menggunakan seluar jeans terpakai menerusi mel udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, 16 Julai lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN