Dua anggota polis parah akibat tertimbus ketika musnahkan bom - Utusan Malaysia

Dua anggota polis parah akibat tertimbus ketika musnahkan bom

TEMPAT kejadian di Jalan Tabah, Taman Sri Lambak, Kluang yang dikatakan runtuh secara tiba-tiba ketika tugas pemusnahan bom.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Dua anggota polis daripada Unit Pemusnah Bom Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Johor cedera parah akibat tertimbus ketika menjalankan pemusnahan bom di tapak perumahan Jalan Tabah, Taman Sri Lambak, di sini kira-kira pukul 3 petang tadi.

Dua anggota berkenaan, Koperal Abdul Halim Zainal dan Koperal Muhammad Faruuqi Shamsary kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

Difahamkan Abdul Halim mengalami pernafasan tidak stabil, patah tulang pinggul dan tulang rusuk serta pendarahan dalam perut, manakala Muhammad Faruuqi pula mengalami pernafasan tidak stabil dan patah tulang paha.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar mengesahkan berlaku kejadian tanah runtuh terbabit tetapi enggan mengulas lanjut.

“Saya belum mempunyai butiran lanjut mengenai tahap kecederaan, tetapi saya boleh mengesahkan anggota polis yang terbabit dalam kejadian itu dikejarkan ke hospital,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, tular dalam media sosial tentang kehadiran ambulans ke kawasan perumahan berkenaan sehingga mengundang pertanyaan penduduk setempat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN