Bicara kes saman Tun M - Ahmad Zahid bermula - Utusan Malaysia

Bicara kes saman Tun M – Ahmad Zahid bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Mahkamah Tinggi di sini bagi memberi keterangan dalam kes samannya terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu ‘kutty’.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu hadir ditemani isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali dan anak lelaki, Datuk Seri Mukhriz yang juga saksi dalam kes saman itu.

Dr. Mahathir yang menyambut hari lahir yang ke-99 pada bulan lalu, yang tiba pada jam 9.38 pagi disapa penyokongnya yang berkumpul di lobi mahkamah sejak awal pagi.

Perbicaraan itu didengar oleh Pesuruhjaya Kehakiman (JC), Gan Techiong.

Sebelum ini, prosiding berkenaan tertangguh beberapa kali, selepas Dr Mahathir tidak sihat dan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana mengalami masalah pernafasan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 20 Julai 2022, Dr. Mahathir mendakwa Ahmad Zahid, 71, telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Dr. Mahathir percaya, individu yang dirujuk Presiden UMNO selaku defendan, dalam kenyataan fitnah sebagai ‘orang itu’, ‘dia’ dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia, dipandang serong.

Dr. Mahathir juga mendakwa, kenyataan fitnah Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan, dipersoal dan diragui.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN