Awie ‘jambatan’ perhubungan antara Kesedar dengan Pusat

Awie ‘jambatan’ perhubungan antara Kesedar dengan Pusat

MOHD. Azmawi Fikri Abdul Ghani (kiri) menyantuni masyarakat Orang Asli yang merupakan penduduk di Kawasan DUN Nenggiri, Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Sosok pemimpin muda Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani mampu memainkan peranan sebagai ‘jambatan’ menghubungkan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dengan Kerajaan Persekutuan jika diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Sabtu ini.

Mohd. Azmawi Fikri atau Awie bukanlah asing dalam kalangan masyarakat di Gua Musang termasuklah Nenggiri kerana beliau sudah lama ‘berdamping’ dengan seluruh peringkat lapisan umur bermula kanak-kanak sehinggalah warga emas.

Ia dapat dilihat setiap kali penduduk Nenggiri ditimpa musibah Awie terus turun menyantuni dan bertanya khabar sambil menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban yang dihadapi ketika itu.

Nama Awie semakin meniti di bibir rakyat Nenggiri apabila beliau sanggup bergadai nyawa, bermandi peluh menghulurkan sumbangan kepada penduduk semasa negara diserang Covid-19.

Justeru, kemenangan Awie pada 17 Ogos ini sangat penting untuk membawa suara rakyat Nenggiri terus kepada Kerajaan Persekutuan secara lebih tuntas khususnya dalam memastikan peneroka dan peserta di bawah agensi itu terbela.

Harus diingat, sumbangan Kesedar terhadap warga Gua Musang begitu besar terutama dalam peningkatan sosial ekonomi dalam kalangan peneroka dan peserta tanpa mengetepikan pembangunan rohani serta jasmani supaya generasi yang lahir selepas ini mampu memacu agensi itu ke arah yang lebih baik.

Malah tempias tidak hanya tertumpu di Gua Musang, malah limpahan nikmat itu turut dirasai oleh penduduk di Kelantan Selatan yang lain seperti Kuala Krai, Jeli dan sebahagian Tanah Merah.

Sejak 2021 hingga kini, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) telah membina 37 unit Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan kos RM2.2 juta dan membaik pulih sebanyak 92 unit rumah dengan kos RM1.3 juta kepada penduduk di kawasan DUN Nenggiri.

Ia adalah usaha kerajaan bagi memastikan golongan miskin dan miskin tegar untuk memiliki kediaman yang selamat dan selesa seterusnya memastikan kumpulan sasar ini dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih baik.

Selain PPRT, KKDW turut menyalurkan peruntukan di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) iaitu Program Peningkatan Pendapatan (PPP) yang menyediakan peruntukan berjumlah RM540,000 daripada tahun 2021 hingga 2024 dengan penerima manfaat seramai 54 peserta.

Pelbagai bantuan lain disalurkan kepada penduduk khususnya di DUN Nenggiri menerusi Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) dengan sejumlah RM210,000 telah dibelanjakan kepada 42 peserta yang terdiri daripada golongan belia di kawasan berkenaan.

Kesungguhan Kesedar dalam membawa penduduk di Kelantan Selatan terus diterjemahkan menerusi Pelan Induk Pembangunan Wilayah Kelantan Selatan Sehingga 2030.

Pelan itu menggariskan lima fasa iaitu penetapan (2014), pe­ngukuhan (sehingga Disember 2015), penerokaan (2016-2020), pemampanan (2021-2025) dan lonjakan kecemerlangan (2026-2030).

Oleh yang demikian, sokongan politik diperlukan dalam memastikan pembangunan secara holistik dapat dilakukan dengan memberikan kepercayaan kepada Awie untuk menjadi wakil peserta dan peneroka untuk dibawa ke pengetahuan Kesedar seterusnya dihantar kepada Kerajaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN