GUA MUSANG: Pengarah Operasi Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Tan Sri Annuar Musa menggesa kepimpinan Barisan Nasional (BN) berhenti mengamalkan sikap penafian setiap kali timbul permasalahan berkaitan kepentingan rakyat sehingga sanggup menuduh serta memburukkan Kerajaan Pas Kelantan.
Beliau mendakwa, lebih teruk apabila ada dalam kalangan kepimpinan BN melempiaskan kemarahan terhadapnya sehingga mengungkit kegagalannya menyelesaikan masalah ditimbulkan termasuk isu pemilikan geran hak milik tanah semasa menjadi Menteri Luar Bandar suatu ketika dahulu.
“Kalau saya bangkitkan masalah berkaitan geran rakyat di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), atau di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) dan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT), ia merupakan masalah yang berlaku pada hari ini.
“Jadi janganlah jadi bingung sampai lupa tarikh dan tahun. Permasalahan ini bukan berlaku ketika saya menjadi Menteri Luar Bandar pada 30 tahun lalu yang mana ECER belum wujud dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) baru ditubuhkan,” katanya semasa berucap di program Ceramah Umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri di sini malam tadi.
Annuar memberitahu, hasil dialognya dengan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri mendapati kebanyakan mereka tidak mendapat gambaran sebenar serta keliru mengenai isu pemberian geran hak milik tanah malah sesetengah mengatakan kerajaan negeri tidak memberi kelulusan.
“Saya sudah jumpa pegawai daerah serta Menteri Besar (Datuk Mohd. Nassuruddin Daud) dan mendapatkan semua data dari Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang untuk dikaji satu persatu. Rupanya di peringkat kerajaan negeri semua sudah selesai tetapi sangkut di peringkat Kesedar.
“Malah Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan juga telah membuat kenyataan bahawa kerajaan negeri sudah memberi pemilikan ke atas 202,342.82 hektar tanah secara keseluruhan di negeri ini dengan 72,843.42 hektar adalah di Gua Musang sahaja,” ujarnya.
Annuar berkata, hasil carian yang dilakukan, beliau turut mendapati Kesedar baru membayar lebih RM200,000 daripada keseluruhan RM900,000 kadar premium bagi tanah-tanah yang diluluskan oleh kerajaan negeri kepada agensi itu.
“Masih berbaki lebih RM600,000 dan belum selesai sehingga kini. Bila tak bayar premium memanglah geran tidak dikeluarkan. Bila datang pilihanraya dan semua pihak sibuk sehingga tidak sempat urus pengeluaran geran, kenapa pula dicetak sijil pemilikan rumah palsu,” katanya.-UTUSAN