Amirul hilang penglihatan selepas dibedah buang darah beku di kepala - Utusan Malaysia

Amirul hilang penglihatan selepas dibedah buang darah beku di kepala

MUHAMMAD Amirul Hamdan Rahim berdepan dugaan cukup berat apabila hilang penglihatan kedua-dua belah matanya selepas pembedahan membuang darah beku di kepalanya pada 10 Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Cukup berat dugaan terpaksa ditanggung oleh Muhammad Amirul Hamdan Rahim, 12, yang hilang penglihatan kedua-dua belah matanya selepas pembedahan membuang darah beku di kepala kanak-kanak berkenaan.

Menceritakan dugaan dihadapi anaknya, bapa kanak-kanak berkenaan, Rahim Ghazali, 38, berkata berkata, penderitaan kanak-kanak tersebut bermula selepas dia terjatuh ketika bermain basikal pada 10 Mac lalu.

“Pada pukul 11 malam hari yang sama, Amirul mengadu sakit kepala, selepas itu saya dan isteri minta dia berehat kerana mungkin penat bermain.

“Pagi keesokkannya, kami kecut Amirul untuk ke sekolah, tetapi ketika itu badannya lemah dan dia juga separa sedar. Melihat keadaannya, kami terus membawa Amirul ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

“Selepas pemeriksaan, doktor memaklumkan ada darah beku dalam kepala Amirul dan pada hari yang sama juga dia menjalani pembedahan bagi membuang darah beku,” katanya yang tinggal di Kampung Rumbia, Beserah di sini hari ini.

Rahim berkata, selepas selesai pembedahan, Amirul tidak mempunyai tempurung kepala yang terpaksa dibuang sementara oleh doktor disebabkan darah beku menekan ke otak kanak-kanak berkenaan.

“Selepas pembedahan, kami tunggu Amirul sedar dan selepas dua minggu, matanya tidak nampak. Pada awalnya kami fikir mungkin sebab ubat dan kami bagi masa dengan harapan ia pulih.

“Tetapi berbulan-bulan selepas pembedahan pada Mac lalu, keadaannya tetap sama, matanya tetap tidak nampak. Selepas itu kami buat keputusan pergi ke hospital dan doktor mengesahkan Amirul buta kedua-dua mata disebabkan tekanan darah.

“Sekarang, kami sedang berusaha memulihkan mata Amirul. Kami ketika ini berulang-alik ke hospital buat rawatan. Saya juga dimaklumkan tentang rawatan tradisional di Ketereh, Kelantan. Cuma kami belum ke sana kerana kosnya tinggi.

“Saya hanya bekerja sebagai pemandu forklift dengan gaji RM1,500 sebulan dan isteri pula berniaga kecil-kecilan untuk membantu keluarga. Kami tinggal di rumah sewa di Beserah yang disewa dengan harga RM500 sebulan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu penderitaan dialami adik Amirul boleh menghubungi Rahim di talian 01161079636. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN