50,000 bakal kunjungi IITTE 2024

50,000 bakal kunjungi IITTE 2024

NASIRUDDIN Mohd. Ali dalam majlis perasmian Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Antarabangsa (IITTE) 2024 (IITTE) di Ayer Keroh, Melaka. UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lebih 50,000 pengunjung dijangka menghadiri Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Antarabangsa (IITTE) 2024 yang berlangsung selama empat hari sehingga 4 Ogos di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini.

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Nasiruddin Mohd. Ali berkata, lebih 200 delegasi terdiri daripada pemimpin syarikat antarabangsa, tokoh usahawan, pemain industri halal dan para ilmuan menyertai ekspo kali ini.

Kata beliau, antara negara yang terlibat pada IITTE 2024 adalah Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Jordan, Mesir, Maghribi, Oman, China, Australia, United Kingdom, Perancis, Brunei dan Jerman.

“Turut menyertai adalah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turkiye, Arab Saudi, Algeria, Belanda, Uzbekistan, Bosnia Herzegovina, Tajikistan, Chechen, Mongolia, Tatarstan dan Dagestan.

“Pada ekspo ini juga diadakan Pameran Menghayati Kehidupan Rasulullah yang disokong oleh pemilik Muzium Dar Madinah, Arab Saudi. Mereka menghadiahkan kepada kami barangan berkat yang tidak ternilai harganya untuk dipamerkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian IITTE 2024 di sini, hari ini.

GISBH adalah penganjur ekspo perdagangan tersebut.

Tambah Nasiruddin, penganjuran IITTE 2024 tidak bermaksud GISBH telah mencapai kejayaan dalam semua bidang yang diteroka.

Jelasnya, GISBH mengharapkan kerjasama semua pihak yang mempunyai cita-cita untuk memperjuangkan islam sebagai sistem hidup.

“Ia bermula dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan alam sejagat. Mari kita jalinkan usaha sama dalam apa juga bidang yang sesuai dan termampu. GISBH bermula dengan proses yang kami namakan sebagai baiki diri.

“Kami jadikan konsep baiki diri sebagai sebesar-besar modal yang biasa diistilahkan sebagai modal insan,” ujarnya. . – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN