KOTA BHARU: Seramai 37 atlet Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Kelantan yang memenangi pingat emas, perak dan gangsa pada temasya yang berlangsung di Sarawak baru-baru ini menerima insentif keseluruhan sebanyak RM200,000.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, insentif itu disampaikan pada majlis meraikan semua atlet yang terlibat dalam masa terdekat.
Menurutnya, insentif bagi pingat emas sebanyak RM2,500, perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,500)
“Bagi atlet berpasukan antara tiga hingga enam orang, pemenang pingat emas akan menerima insentif sebanyak RM3,000, perak (RM2,500) dan gangsa (RM2,000).
“Atlet berpasukan melibatkan tujuh pemain ke atas pula menerima RM4,500 bagi pingat emas, perak (RM3,500)dan gangsa (RM 2,500),”katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelepasan Konvoi Semarak Merdeka 2024 Kelab Land Rover Kelantan di Pasir Tumboh, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zamakhshari memberitahu, beliau mengadakan mesyuarat dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) untuk membincang mengenai pencapaian atlet dan majlis meraikan atlet Sukma pada Khamis depan.
Katanya, meskipun kejayaan atlet Kelantan pada Sukma 2024 kurang memberangsangkan, insentif tetap diberikan.
Dalam perkembangan lain, menurutnya, beliau akan memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan negeri untuk elaun kepada atlet Para Sukma 2024 yang berlangsung pada 20 hingga 28 September depan.
Katanya, kerajaan negeri juga akan memberi juga insentif kepada atlet Para Sukma yang menyumbangkan pingat pada temasya itu.-UTUSAN