SEREMBAN: Seramai 12 orang bayi dilahirkan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 hari ini.
Kelahiran tersebut melihatkan tujuh orang bayi perempuan dan lima orang bayi lelaki yang lahir bermula dari pukul 12 tengah malam sehingga pukul 12 tengah hari tadi.
Timbalan Pengarah Perubatan 1 HTJS, Dr. Muhammad Zamri Harun berkata, daripada jumlah itu sembilan bayi dilahirkan secara normal dan bakinya secara pembedahan.
Katanya, sebagai penghargaan kepada ibu dan bayi yang dilahirkan pada tarikh keramat 31 Ogos ini, HTJS turut mengadakan majlis Sambutan Bayi Merdeka.
“Melalui program ini, ibu dan bayi merdeka yang dilahirkan di HTJS menerima pelbagai sumbangan seperti barangan bayi dan wang tunai termasuk dari Ahli Lembaga Pelawat Hospital,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Bayi Merdeka 2024 dan Ziarah Warga Emas HTJS di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang suri rumah, Farah Nabilah Bakri, 31, berkata, dia tidak menyangka dapat melahirkan bayi lelakinya pada Hari Kebangsaan hari ini.
“Saya sangat teruja sebab tidak merancang kerana anak saya dijangka lahir pada esok hari tetapi tidak jangka pula kelahiran bayi ini awal sehari.
“Kelahiran kali ketiga ini sangat mudah kerana saya masuk ke bilik bedah pada pukul 3.30 pagi dan bayi lelaki saya selamat dilahirkan secara normal dengan berat 3.2 kilogram (kg) pada pukul 4 pagi tadi,” katanya yang berasal dari Kampung Durian Daun, Rembau.
Kegembiraan yang sama turut dikongsikan S. Muthammal, 27, yang selamat melahirkan bayi perempuannya dengan berat 2.64 kg secara normal pada pukul 2.27 pagi tadi.
“Sepatutnya tarikh jangkaan kelahiran bayi ini yang merupakan anak kedua saya adalah pada 5 September nanti, tetapi saya sudah terasa ingin bersalin dan terus dihantar ke bilik bersalin hospital pada pukul 1 pagi tadi.
“Dalam tempoh tidak sampai dua jam, saya telah selamat melahirkan bayi ini. Saya sungguh tidak menyangka dapat melahirkan anak pada tarikh penting ini.
“Ini adalah anugerah terindah buat saya dan suami. Memiliki anak yang lahir pada hari bersejarah ini hidup keluarga saya lebih bermakna,” katanya.-UTUSAN.